LIMBANG: Pembinaan jalan pesisir di daerah Limbang akan meningkatkan akses dan membuka ruang penjanaan ekonomi rakyat.
Sehubungan itu projek Jalan Baharu dari Bukit Lubok ke Kampung Seberang Kedai Limbang sejauh 3.7 kilometer, bernilai RM16.7 juta adalah bukti kepada kesungguhan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan kawasan pesisir negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu jaringan perhubungan kawasan bandar dan luar bandar menjadi fokus utama kerajaan negeri untuk membawa perubahan di negeri ini terutama kawasan luar bandar.
Oleh itu, kerajaan akan meneruskan pembinaan jalan pesisir yang dahulu merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo dekat sini untuk menjadi penghubung kampung-kampung pesisir di sepanjang seberang sungai di Limbang.
“Pembinaan jalan pesisir ini akan membuka ruang untuk membangunkan kawasan, khususnya di seberang sungai dan jika tak dibangunkan jalan raya adalah susah pembangunan dilaksanakan,” katanya pada upacara Pecah Tanah Pembinaan Jalan Baharu dari Bukit Lubok ke Kampung Seberang Kedai di sini semalam.
Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pengawai Daerah Limbang, Superi Awang Said.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, berkata kawasan di Kampung Seberang Kedai dekat sini akan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dengan pembinaan jeti seperti tebingan sungai mini, pembinaan perusahaan kecil dan sederhana dan rancangan untuk membina projek pembesaran kampung.
“Pada masa sama, ini akan memberi peluang kepada masyarakat membangunkan tanah mereka,” tegas beliau.
“Kita harap dengan adanya perhubungan jalan ini, kawasan di seberang sungai akan dibangunkan dengan aktiviti pembangunan, pertanian, penternakan dan ekonomi lain sekali gus mengubah hidup rakyat di luar bandar,” ujarnya.
Penubuhan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), merupakan satu pendekatan strategik Kerajaan Sarawak ke arah memperkasakan usaha pembangunan di kawasan pedalaman, katanya.
Menurutnya, penubuhan RECODA di bawah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mampu merancang pelan pembangunan yang membawa limpahan kemajuan dan impak ekonomi ke kawasan berkaitan.
“Ini kita jangka membawa banyak kemajuan, terutama dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dengan kewujudan banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan berkaitan, sekali gus mengubah landskap pembangunan di kawasan pedalaman,”jelasnya.
Oleh Adeng Edrus