
SARATOK: Projek naik taraf jalan pertanian serta pembinaan jambatan I-Beam di kawasan Sungai Tali Paon, seberang Pekan Saratok berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan sekali gus memberi manfaat besar kepada komuniti petani setempat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi telah hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri ke majlis serah tapak projek siap yang diadakan secara ringkas di kawasan tersebut, semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Nazaruddin yang mewakili Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, Nur Ain Yihie dari Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) serta pihak kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Projek yang dilaksanakan di bawah seliaan BDDA itu berjaya disiapkan lebih awal iaitu 36.1 peratus mendahului jadual asal yang telah ditetapkan.

Skop projek merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan ban pertanian, pembinaan jambatan jenis I-Beam serta beberapa kerja berkaitan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata projek berkenaan merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh kemudahan asas yang menyokong aktiviti pertanian di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, dengan siapnya jambatan I-Beam tersebut, ia dijangka merancakkan lagi aktiviti pertanian khususnya di kawasan Sungai Tali Paon di seberang Pekan Saratok.
Tambahnya, sejak penubuhan BDDA, banyak perubahan positif dapat dilihat khususnya dalam pembangunan kawasan pertanian di sekitar Saratok.
Antara kawasan yang menerima manfaat pembangunan termasuk Kampung Kupang, Kampung Pagan, Kampung Perpat, Kampung Kaba, kawasan Entebu, Sungai Engkabang, Jelupang dan Nyiar melalui pembinaan serta naik taraf jalan pertanian, pintu air dan kemudahan lain.
“Impak yang ketara ialah ia memudahkan para petani untuk mengusahakan tanah mereka serta memasarkan hasil pertanian dengan lebih cekap.
“Usaha ini akan terus dipergiat di seluruh kawasan DUN Kalaka,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada BDDA, JPS serta pihak kontraktor yang berjaya menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada jadual.
Oleh Adi Safarman