- Dijangka siap awal suku 2024
SARIKEI: Projek Jalan Pasi-Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang yang sedang dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada awal suku 2024, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, projek jalan raya sepanjang 17 kilometer (km) yang termasuk jambatan sepanjang 1.2 km itu dilaksanakan dengan kos berjumlah RM321 juta.
“Ia menghubungkan kawasan Sarikei-Bintangor ke kawasan Tanjung Manis.
“Kalau jalan raya dan jambatan ini siap kelak, insya-Allah perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis akan mengambil masa lebih kurang 45 minit.
“Kalau dibandingkan pada masa ini, perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis adalah sekurang-kurangnya dua jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita selepas selesai Majlis Perasmian Kursus Penjenamaan dan Pembungkusan Produk di Dewan Masyarakat Kampung Jerijeh Baru, Tanjung Manis, baru-baru ini.
Tambahnya, pembinaan jalan raya dan jambatan tersebut juga merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat tempatan.
“Sekiranya jalan raya dan jambatan ini siap kelak, ia akan menjadi ‘Game Changer’ untuk memberi perubahan yang ketara dalam pembangunan di kawasan ini.
“Bukan sahaja perubahan dari segi bisnes dan sebagainya, tetapi juga dari segi semua aspek seperti pelancongan sosial, kemasyarakatan, keagamaan dan sebagainya.
“Oleh sebab itu, saya sudah memaklumkan kepada penduduk-penduduk di pesisir ini supaya bersedia untuk mencari jalan dan kaedah bagaimana mereka dapat mempertingkatkan lagi perusahan mereka dalam bidang pertanian, perusahaan dan sebagainya,” ujarnya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berharap penduduk memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kelestarian pembangunan khususnya di Tanjung Manis.
Oleh EARL ANEK