

LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu telah memantau situasi banjir di Jalan Panjai Ruai selepas laluan tersebut dinaiki air setinggi 0.30 meter pada petang ini.
Pegawai APM Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel, berkata hasil pemantauan yang dijalankan pada 2.28 petang mendapati air telah melimpahi permukaan jalan dengan arus mengalir pada kadar sederhana.
Menurut beliau, keadaan semasa menunjukkan laluan tersebut masih boleh digunakan oleh kenderaan yang bersesuaian dengan syarat pemandu berhati-hati, namun kenderaan ringan dan kecil dinasihatkan agar tidak melalui kawasan berkenaan demi keselamatan.
“Paras air yang direkodkan adalah sekitar 0.30 meter dan trend semasa menunjukkan paras air semakin menurun.
“Setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilaporkan dan keadaan masih terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leftenan Desem berkata, pasukan APM yang terdiri daripada dua anggota telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan berterusan serta memberi maklumat terkini kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Tambahnya, orang ramai yang memerlukan bantuan atau menghadapi sebarang kecemasan diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lubok Antu di talian 083-584639.
APM akan terus memantau perkembangan semasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem iHYDRO dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman