SIBU: Projek infrastruktur Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) melibatkan Jalan Ngungun/Jagau sepanjang 10.8 kilometer kini sedang dalam proses pembinaan.
Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) merupakan agensi badan berkanun Kerajaan Sarawak yang bertanggungjawab ke atas URDA menerusi kenyataannya memberitahu, jalan berturap tersebut akan menghubungkan Nanga Nirok dan Nanga Bat di sepanjang Sungai Ngemah.
“Projek ini turut melibatkan pembinaan dua buah jambatan Bailey, dengan kerja menilai dan menyiasat struktur tanah hampir selesai. Sementara, kerja-kerja pembinaan terutama pembersihan tapak telah dimulakan.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan,” jelas kenyataan itu di Facebooknya pada Isnin lalu.
Kali pertama cadangan pembinaan jalan raya tersebut diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke Rumah Penghulu Ugap Seribu (kini Rumah Mathew Chuat) di Nanga Tada, Kanowit pada Februari tahun 2010.
Najib, pada awalnya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk projek tersebut.
Bagaimanapun, semasa lawatan kempen pilihan raya ke Rumah Taboh Rimau di Nanga Ngungun pada 27 Mac 2016, Najib meluluskan RM50 juta lagi untuk projek yang sama.
Bagaimanapun, kerja-kerja masih belum bermula sejak itu.
Keadaan itu, telah mendorong tiga bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu bahagian Kanowit, Lanang dan Sibu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai peruntukan RM50 juta pada 22 Jun 2018.
Seorang pemimpin masyarakat untuk Ngemah Ili, Penghulu Juni Masam memberitahu, berdasarkan maklumat yang diketahuinya, jalan berkenaan dibina dalam dua fasa.
“Fasa pertama adalah yang sedang dilaksanakan dari Nanga Bat hingga Sungai Pra. Pampasan tanah kepada pemilik tanah yang terlibat juga telah dibayar.
“Kemudian, fasa kedua diteruskan dari Sungai Pra ke Baluh, Serait, Sugin, Entungun, Wong Entekai, Kapit dan hingga Nanga Jagau.
“Apabila siap sepenuhnya, jalan itu akan memberikan akses yang sewajarnya ke 21 buah rumah panjang di Nanga Jagau dan tidak kurang dari 20 buah rumah panjang di sepanjang Sungai Ngemah,” ujarnya semasa dihubungi pada Selasa.
Nanga Jagau merupakan kawasan penempatan semula yang diwujudkan pada 2 April 1972 di bawah Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM).
Ketika ini, penduduk di kawasan penempatan semula Nanga Jagau menggunakan jalan balak dan pengangkutan sungai untuk ke bandar.
Oleh AKUN GIMAN