
KUCHING: Seorang penduduk telah membuat aduan sejak 28 November lalu mengenai masalah jalan mendap di hadapan rumahnya di Lorong Apt 2, Jalan Datuk Mohammad Musa, namun sehingga kini tiada tindakan diambil, menyebabkan penduduk sekitar hidup dalam kebimbangan.
Pembantu Khas, kepada YB Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata keadaan tersebut semakin serius sejak beberapa minggu lalu apabila hakisan tanah menyebabkan jalan berkenaan mendap lebih daripada satu kaki.
“Pada mulanya hanya rekahan kecil, tetapi kini jalan tersebut telah mendap dengan ketara dan membahayakan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
“Disebabkan kebimbangan terhadap keselamatan dan ketiadaan tindakan, penduduk akhirnya meminta bantuan saya,” katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai amat membimbangkan dan menegaskan isu berkaitan infrastruktur tidak boleh dipandang ringan.
“Jalan tidak akan mendap tanpa sebab. Apabila hakisan bermula, risiko runtuhan mengejut akan meningkat. Menunggu sehingga kemalangan berlaku sebelum bertindak adalah tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Kong menggesa Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) supaya mengambil tindakan segera termasuk pemeriksaan tapak, penilaian keselamatan serta langkah pencegahan sementara sebelum kerja pembaikan menyeluruh dijalankan.
“Keselamatan awam mesti diutamakan berbanding kerenah birokrasi dan pelbagai alasan. Pihak berkuasa perlu bersikap proaktif dan bertindak pantas apabila aduan awal telah dibuat oleh penduduk,” katanya.
Oleh Connie Chieng