DARO: Jalan ladang sepanjang satu kilometer dari Kampung Penuai di Pulau Bruit sudah siap sepenuhnya sekali gus mempermudahkan laluan untuk ke tujuh kampung di situ.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata menelan kos RM2.6 juta projek itu siap enam bulan lebih awal.
“Projek ini sepatutnya siap pada Jun tahun ini tetapi kontraktor dapat menyiapkannya enam bulan lebih awal pada Disember tahun lalu.
“Jalan ini sangat penting bagi menghubungkan tujuh kampung di kawasan utara Pulau Bruit kepada jalan ladang yang telah siap sepenuhnya sebelum ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata demikian selepas majlis serah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Penuai, Pulau Bruit semalam.
Abdullah berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga memaklumkan mengenai perancangan serta jadual pelaksanaan pembinaan empat jambatan konkrit baru dua hala untuk menggantikan empat jambatan sehala yang menghubungkan jalan utama di utara Pulau Bruit.
Katanya, projek itu akan menelan belanja RM20 juta dan berharap dapat dipercepatkan untuk pelaksanaan dalam tahun ini.
“Saya difahamkan tempoh pelaksanaan jambatan ini mengambil masa dua tahun tapi saya harap dapat dilaksanakan dengan lebih cepat lagi,” katanya.
Selain itu, Abdullah juga berharap Kerajaan Pusat akan mengekalkan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Pulau Bruit ke Sungai Nai dalam Rancangan Malaysia (RMK) seterusnya.
Katanya, peruntukan untuk projek berkenaan telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.
Pada program sama, beliau diberi taklimat oleh JKR mengenai pelaksanaan pembinaan Dewan Masyarakat baru Pulau Bruit yang berkapasiti 1,000 orang dengan anggaran kos sebanyak RM8.3 juta.
Pada sebelah petang, Abdullah menyampaikan sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada jawatankuasa masjid dan surau di kawasan Semop bertempat di Masjid Darul Quddus, Kampung Betanak Daro.
Sebanyak 16 masjid dan 10 surau di kawasan itu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Penuai menerima dana berjumlah RM113,000.
Abdullah berkata, sumbangan RM48,000 kepada masjid dan RM15,000 kepada surau adalah untuk menampung perbelanjaan mengadakan aktiviti sepanjang Ramadan nanti.
Sumbangan RM50,000 kepada JKKK Kampung Penuai pula untuk tujuan bina baru tandas, lantai dan sengkuap hias Dewan Kampung Penuai.
Abdullah turut menyampaikan sumbangan peribadinya kepada semua pegawai masjid dan surau di kawasan Semop sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.
Pada sebelah malam pula, beliau berkesempatan menyampaikan sumbangan dana MRP kepada tiga masjid dan tiga surau di Bintangor termasuk Jawatankuasa Pembinaan Surau Muhajirin, Taman Bintang berjumlah keseluruhan RM15,000.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di Dewan Dayang Bai Bintangor.
Senarai penerima dana MRP itu adalah Masjid Darul Taqwa Bintangor (RM3,000), Masjid Darul Ibadah Kpg Tg Bundong (RM3,000), Masjid Al-Falah Kpg Gemuan (RM3,000), Surau Darul Ikhsan, Jln Bidadari (RM1,500), Surau Abg Taib Bintangor (RM1,500), Surau Darul Taqwa Kpg Selemas (RM1,500) dan JK Pembinaan Surau Muhajirin, Taman Bintang (RM1,500).