
SIBU: Projek penurapan jalan ke kawasan Assan Tengah yang menghubungkan ke Rumah Gendang dalam bahagian tengah kawasan Dudong telah siap sepenuhnya.
Sempena siapnya projek tersebut, penduduk rumah panjang menjemput Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong, Datuk Teo Boon Siew bagi menghadiri majlis doa selamat dan merasmikan pembukaan jalan berkenaan, semalam.
Menurut Datuk Teo, projek ini merupakan sebahagian daripada perancangan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang telah beliau perjuangkan ketika masih berkhidmat sebagai ahli majlis.
“Projek ini membabitkan kos melebihi RM400,000 dan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Tambahnya, jalan yang diturap ini akan memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk sekitar serta melancarkan perhubungan antara rumah panjang.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PDP Bahagian Dudong, Amping Ranggau, Pemanca Paing Tawi serta Tuai Rumah daripada enam rumah panjang sekitar kawasan tersebut
Oleh Tarani Lanting