
PETROLEUM Sarawak Berhad (Petros), kini berada di satu persimpangan penting dalam landskap tenaga serantau.
Sejak penubuhannya, syarikat ini membawa aspirasi besar – untuk menjadikan Sarawak bukan hanya sebagai pengeluar bahan mentah, tetapi juga sebagai peneraju dalam pengurusan sumber asli dan pembangunan industri berasaskan gas.
Namun, aspirasi besar ini datang dengan cabaran yang tidak kecil. Menilai peluang dan halangan ini secara terbuka dan jujur bukannya dipandang sinis oleh pihak luar, akan tetapi satu keperluan agar Petros melangkah dengan langkah yang lebih kukuh dan berstrategi.
Akses langsung
Sebagai satu-satunya syarikat yang mempunyai akses langsung kepada rizab gas asli di Sarawak, Petros memiliki kelebihan unik.
Kekayaan sumber semula jadi yang tersedia di negeri ini memberi mereka peluang yang jarang diperoleh oleh pemain baru lain dalam industri Gas Asli Cecair (LNG).
Namun begitu, memiliki bekalan sahaja tidak cukup untuk memenangi pertempuran dalam pasaran LNG yang sangat kompetitif.
Kunci utama adalah keupayaan untuk menghantar bekalan tersebut secara konsisten, pada kos rendah dan dengan kebolehpercayaan tinggi.
Sokongan kukuh daripada pentadbiran negeri memberi Petros laluan lebih mudah dalam mendapatkan lesen operasi, lokasi pengeluaran, serta kemudahan infrastruktur asas.
Ini jelas memberi kelebihan dari segi pengurusan birokrasi dan pentadbiran berbanding syarikat asing yang perlu merentas pelbagai peringkat kelulusan.
Namun, apabila berbicara tentang industri LNG, kemudahan awal ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan cabaran besar yang menanti.
Pelaburan berskala tinggi
Pembangunan kemudahan LNG menuntut pelaburan berskala tinggi – daripada pembinaan loji pencairan gas, terminal penyimpanan, sehinggalah kepada kapal LNG dan sistem logistik sokongan.
Untuk memberi gambaran, syarikat seperti Petronas telah membangunkan kompleks MLNG Bintulu yang kini beroperasi dengan kecekapan tinggi selepas berdekad pengalaman dan pelaburan berterusan.
Petros, sebagai pemain baru, memerlukan rakan strategik yang mampu menyumbang teknologi terkini dan modal yang besar jika ingin mencapai tahap kecekapan yang serupa.
Dalam aspek pasaran, Petros juga berhadapan realiti bahawa pemain utama seperti Qatar Energy, Shell dan Petronas telah lama mengikat kontrak jangka panjang dengan pembeli utama dari Jepun, Korea dan China.
Untuk menembusi pasaran ini, Petros perlu lebih kreatif – sama ada menumpukan kepada pasaran sasaran seperti Vietnam dan Filipina, atau memposisikan diri sebagai penyedia LNG yang lebih bersih dan lestari, misalnya melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi mereka.
Turun naik harga
Tidak dinafikan, pasaran LNG terkenal dengan turun naik harga yang ketara, dipengaruhi oleh faktor cuaca, geopolitik dan rantaian bekalan global.
Dalam konteks ini, Petros perlu memiliki strategi pengurusan risiko yang mantap – termasuk perjanjian kontrak jangka panjang, pelaburan dalam teknologi bagi mengurangkan kos operasi, sistem lindung nilai harga lebih efisien, dan pelan sandaran bekalan untuk mengekalkan daya saing serta kestabilan pendapatan.
Bermakna bagi pemain baru seperti Petros, ini bermakna strategi perniagaan mereka tidak boleh hanya bergantung kepada jangkaan harga tinggi atau kestabilan pasaran.
Laporan terbaharu oleh Rystad Energy menunjukkan bahawa harga LNG dunia, khususnya di Asia, kekal rendah walaupun berlaku gangguan dalam proses pencecairan dan pengeluaran di beberapa lokasi utama seperti Asia, Eropah, dan Malaysia.
Isu global
Situasi ini mencerminkan hakikat bahawa harga LNG tidak semata-mata dipacu oleh isu bekalan, tetapi juga dipengaruhi oleh permintaan yang perlahan akibat musim bukan puncak, lebihan bekalan global serta sentimen pasaran terhadap kestabilan geopolitik dan sekatan perdagangan.
Sudah pasti Petros perlu bersedia menghadapi situasi sebegini dalam perjalanan jauh industru LNG ini.
Begitu juga, ketidaktentuan perdagangan global – seperti potensi pengenaan yuran tambahan oleh Amerika Syarikat terhadap kapal dari China – turut menambahkan dimensi ketidaktentuan dalam rantaian bekalan LNG antarabangsa.
Semua ini menegaskan bahawa pasaran LNG sangat sensitif terhadap pelbagai faktor luar kawalan dan terus berada dalam keadaan tidak menentu, dengan harga yang boleh berubah drastik dalam masa singkat.
Dari segi struktur pembiayaan, persoalan besar timbul – dari mana datangnya dana untuk projek bernilai berbilion ringgit ini? Keseimbangan antara hutang dan ekuiti sangat penting, dan di sinilah kepentingan rakan pelabur gergasi antarabangsa menjadi ketara.
Tanpa struktur pembiayaan yang mapan, Petros berisiko tersekat di peringkat awal pembangunan, walaupun dengan potensi sumber yang besar di tangan.
Tenaga kerja
Satu lagi aspek yang tidak boleh diabaikan adalah aspek tenaga kerja.
Bagi bersaing di peringkat antarabangsa, Petros perlu menarik tenaga pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor LNG.
Perkara ini menuntut mereka menawarkan pakej imbuhan yang kompetitif untuk menarik bakat dari syarikat seperti Petronas dan firma minyak antarabangsa lain.
Dari perspektif undang-undang dan politik, isu hak milik dan pengurusan sumber gas di Sarawak telah menjadi perbincangan hangat.
Berdasarkan undang-undang sedia ada seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974, Petronas masih mempunyai kedudukan yang kukuh.
Namun begitu, dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak mempunyai asas moral dan politik yang kukuh untuk menuntut lebih kuasa autonomi.
Jika Parlimen bersetuju dengan pindaan yang sesuai, kedudukan Petros boleh diperkuatkan secara ampuh dan menyeluruh.
Visi Premier Sarawak
Namun, visi Premier Sarawak sebenarnya tidak terhenti kepada persaingan dengan Petronas.
Yang ingin dicapai ialah pembentukan sebuah ekosistem industri tenaga bersepadu di Malaysia Timur.
Buat masa ini, hanya sebahagian kecil gas digunakan dalam negeri Sarawak, manakala majoritinya dieksport.
Dengan menjadi aggregator gas, Sarawak dapat menjana tenaga secara tempatan, menyokong pertumbuhan industri berat, serta mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga luar seperti arang batu.
Pengalaman luas Petronas
Pendek kata, Petros tidak perlu meniru perjalanan Petronas sepenuhnya akan tetapi belajar daripada pengalaman Petronas yang luas, berwawasan tinggi dan professional.
Sebaliknya, ia juga boleh membina jalan tersendiri yang lebih relevan dengan konteks Sarawak hari ini – satu pendekatan yang lebih lestari, lebih inklusif, dan memberi lebih manfaat langsung kepada rakyat tempatan.
Jika dimainkan dengan bijaksana, strategi ini boleh menjadikan Petros bukan sahaja pemain LNG yang relevan, tetapi juga pencetus perubahan ekonomi bagi seluruh Borneo.
Kesimpulannya, jalan ke hadapan untuk Petros bukanlah mudah, tetapi ia penuh potensi.
Kejayaan bukan dijamin hanya kerana ada sumber, tetapi ditentukan oleh sejauh mana syarikat ini sanggup melabur dalam pengetahuan, strategi, dan kerjasama pintar.
Jika semua ini digabungkan dengan sokongan rakyat dan kepimpinan politik yang jelas, Petros bukan sahaja berpotensi menjadi bintang baru di rantau ini, malah menjadi lambang kejayaan pembangunan berteraskan sumber secara berdaulat dan bertanggungjawab.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).