BINTANGOR: Jalan Buan telah dibuka kepada pengguna jalan raya bagi menyediakan laluan trafik yang lebih lancar di kawasan ini terutama di persimpangan Jalan Buan dan Jalan Kelupu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, jalan tersebut telah siap dinaik taraf dan sudah boleh dilalui oleh pengguna jalan raya.
“Terdahulu, saya telah mengemukakan permohonan untuk kerja naik taraf Jalan Buan melalui Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) setelah menerima rintihan rakyat mengenai keadaan jalan yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Setelah siapnya kerja naik taraf ini, diharapkan pengguna jalan raya di Bintangor akan melalui perjalanan yang lebih lancar, selamat, mudah dan selesa,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika dihubungi media, hari ini.
Sementara itu, Gung Chiu Kiong selaku wakil Tiong Sii mewakili Dato’ Sri Huang Tiong Sii, mengetuai pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat P208 Sarikei telah mengadakan satu lawatan kerja ke tapak projek siap di Jalan Buan, pagi tadi.
Skop projek tersebut melibatkan kerja pelebaran jalan raya dan penyelenggaraan bahu jalan tersebut untuk kereta dan laluan motosikal.
Oleh Earl Anek