
KUCHING: Polis Daerah Bau memaklumkan penutupan sementara Jalan Blue Lake Resort City bersempena sambutan ulang tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025, serta majlis pembukaan rasmi Blue Lake Resort City.
Acara ini akan berlangsung mulai esok, 15 Mei hingga Ahad ini, 18 Mei, bertempat di sepanjang Jalan Blue Lake, Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr. Darum, memaklumkan bahawa penutupan jalan akan bermula pada 6.00 pagi esok, melibatkan laluan masuk dari persimpangan ke Pasar Raya Besar Lepapa dan Jalan Blue Lake Resort City.
Penutupan ini akan berkuat kuasa sehingga tamatnya sambutan.
Dr. Darum turut menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, khususnya di kawasan berhampiran Pasar Raya Besar Lepapa yang menghala ke Jalan Blue Lake, bagi mengelakkan gangguan terhadap aliran trafik.
“Demi keselamatan dan keselesaan semua pengguna jalan raya, kami menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan lalu lintas serta mengelakkan parkir haram sepanjang tempoh sambutan,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, ujarnya, boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bau di talian 082-763311.
Oleh Connie Chieng