SIBU: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya berturap dan sistem saliran di Blok D, Kampung Hijrah di sini.
Menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Annuar Rapa’ee, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah meluluskan Lesen Kependudukan Sementara (TOL) kepada 34 pemilik tanah di blok berkenaan justeru mereka memerlukan jalan raya lebih selesa.
“Oleh itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mula membina jalan raya di Blok D minggu depan setelah peruntukan daripada kerajaan negeri diterima,” katanya.
Beliau juga berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan penempatan semula di Kampung Hijrah yang dibahagikan kepada empat blok, iaitu A, B, C dan D.
Jelasnya, surat pemilikan tanah TOL seharusnya diserahkan kepada pemilik bulan lalu, namun terpaksa ditunda kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Berita gembira ini sekali gus menamatkan penantian penduduk kampung untuk memiliki sebidang tanah,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menambah Blok D pertama kali diukur dengan lebih 30 lot kosong, sementara 34 lot mempunyai pemilik.
Beliau memberitahu Blok C sedang diukur, sementara Blok B tidak akan diukur tetapi dikembalikan kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Blok A, C, dan D mempunyai sejumlah 366 lot. Daripada jumlah itu Blok A mengadnungi 153 lot, Blok C 132 dan Blok D 81 lot.
“Keempat-empat blok tersebut adalah milik LCDA dan Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk tujuan penempatan semula.
“Oleh itu, ketiga-tiga blok tersebut dikembalikan kepada rakyat. Ini adalah langkah baik Kerajaan Sarawak untuk rakyat memiliki tanah,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad