
LIMBANG: Tindakan segera daripada agensi bertanggungjawab diperlukan bagi membaiki jalan awam yang rosak dan berlubang, khususnya di laluan simpang masuk Taman Batu Keramat, Jalan Polis Marin, di sini.
Menurut penduduk setempat, keadaan jalan yang berlubang bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, terutama ketika hujan apabila air bertakung menutupi permukaan jalan.
Seorang penduduk, Charles Lee, menggesa pihak berkenaan supaya mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan tersebut demi menjamin keselamatan pengguna.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu keperluan kerana keadaan jalan berkenaan boleh membahayakan nyawa. Isu ini perlu diberi perhatian serius dan saya berharap ia dapat diatasi dengan segera,” katanya ketika ditemui media semalam.
Sementara itu, isu kerosakan jalan berkenaan turut tular di laman sosial Limbang Facebook Community hari ini.
Seorang pengguna media sosial, Joshua J. Raymond, berharap agar pihak berkaitan segera mengambil tindakan membaiki jalan tersebut.
“Mohon perhatian pihak berkenaan. Ini merupakan laluan simpang masuk ke Taman Batu Keramat, Jalan Polis Marin. Jalan semakin berlubang teruk, air bertakung dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya.
“Laluan ini dipercayai pernah dikorek bagi kerja pemasangan paip atau wayar, namun tidak dibaiki semula dengan sempurna. Keadaan ini telah dibiarkan hampir dua hingga tiga bulan tanpa sebarang tindakan,” katanya menerusi laman sosial berkenaan.
Rata-rata pengguna media sosial turut menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa supaya segera membaiki kerosakan jalan tersebut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adeng Edrus