
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang mengambil alih semua jalan balak di negeri ini bagi dipertingkat menjadi rangkaian jalan luar bandar yang lebih selamat dan boleh digunakan sepanjang tahun.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau menekankan bahawa banyak komuniti pedalaman bergantung kepada jalan balak sebagai laluan utama untuk ke sekolah, fasiliti kesihatan dan urusan ekonomi setempat, namun keadaan jalan sering rosak terutama ketika musim hujan.
“Kerajaan negeri sedang mengambil alih semua jalan balak. Selepas itu, kita akan laksanakan kerja naik taraf secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah di sini hari ini.
Rombongan itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, bersama Penghulu Pree Minggat mewakili kawasan Ngungun dan 28 tuai rumah.
Uggah menambah bahawa pelaksanaan projek naik taraf akan diselaraskan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi memastikan penyelenggaraan lebih sistematik dan mempercepat kerja pembaikan di laluan kritikal.
Dalam pertemuan itu, wakil komuniti turut menyuarakan kebimbangan mengenai kerosakan jalan balak yang menjejaskan pergerakan penduduk serta pengangkutan hasil pertanian sekali gus memerlukan tindakan segera khususnya di kawasan yang kerap terputus hubungan.
Oleh Adi Safarman