DENGAN hampir siap sepenuhnya Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), perjalanan balik kampung musim perayaan Hari Gawai dan perayaan lain semakin lancar. Dari Kuching ke Sarikei, misalnya untuk perjalanan sederhana laju memakan masa hanya kira-kira empat jam berbanding masa lama sebelum wujudnya lebuh raya.
Namun, pada hari ketiga sambutan Hari Gawai Isnin lalu, orang ramai terutama yang balik daripada cuti panjang, mengeluh mengenai keadaan kesesakan luar biasa laluan Pan Borneo di Jakar, berdekatan Sarikei hingga ada yang ‘melekat’ dua jam di laluan itu.
Kesesakan di laluan sepanjang lebih kurang 10 kilometer (km) tersebut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen. Gambar dan video laluan sesak itu tersebar luas di media sosial, tetapi pihak berkuasa hanya ‘senyap’ tanpa sebarang penjelasan sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superitendan Polis, Aswandy Anis dilaporkan sebagai berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila laluan yang sepatutnya dua lorong itu, hanya dibuka satu lorong terutama di kawasan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo. Keadaan itu katanya, memaksa polis turun padang melakukan pemantauan bagi membantu melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan, manakala jalan yang ditutup sebelum ini juga telah dibuka bagi melancarkan aliran trafik.
Orang ramai agak terkilan kerana tiada notis awal mengenai penutupan satu lorong atau sekurang-kurangnya diberi laluan alternatif. Tetapi pada masa sama, tidak dijelaskan mengapa tidak dibuka dua lorong ketika banyak kenderaan pada cuti umum perayaan yang bersambung pula dengan cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Orang ramai juga mengharapkan penjelasan pihak yang terbabit sama ada kontraktor atau Cawangan Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi merungkai apa masalah sebenar yang berlaku. Jika pejabat ditutup pada hari cuti umum sekalipun, sekurang-kurangnya boleh dimuatkan kenyataan di laman Facebook rasmi yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Kaedah diguna Lembaga Lebuhraya Malaysia di Semenanjung boleh dicontohi dengan membuka Pusat Pemantauan Trafik untuk memantau, mengumpul dan menyalur maklumat trafik terkini serta menyelaras bantuan kepada pengguna lebuh raya termasuk hujung minggu dan pada cuti umum.
Malah Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menjemput wartawan ke pusat pemantauan terutama pada musim kemuncak perayaan untuk melihat sendiri pergerakan aliran trafik melalui CCTV bagi membolehkan wartawan membuat liputan siaran secara langsung pada waktu puncak. Telus dan mesra pengguna lebuh raya.
Ketika sidang Dewan Undangan Negeri bulan lalu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dua bahagian di Lebuh Raya Pan Borneo iaitu di Sarikei dan Beluru, Miri belum siap sepenuhnya dan ia sudah di peringkat akhir yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
“Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di bahagian Lambir pula kini mempunyai dua skop kerja baharu iaitu pembinaan jejambat sepanjang kira-kira satu kilometer di Bukit Song dan penjajaran semula jalan sepanjang 4km bagi mengelak pusat air Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) sedia ada. Ia dijangka siap pada 2027.
“Keseluruhannya, kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo mencapai 99.42 peratus siap setakat 25 April lalu,” katanya dan menambah bahawa 22 daripada 25 bahagian lebuh raya itu sudah dibuka sepenuhnya untuk kegunaan orang awam.
Diharapkan keadaan seperti berlaku di persimpangan Jakar/Pan Borneo itu tidak berulang pada masa akan datang.
Kemalangan ragut nyawa
SETIAP kali perayaan tidak kira sama ada Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina atau Hari Raya, berita sedih kedengaran dengan beberapa kejadian kemalangan membawa maut di jalan raya. Bayangkan kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Misalnya, di Miri dua kemalangan maut dilaporkan pada hari pertama dan kedua perayaan Gawai Dayak, masing-masing berlaku di Simpang Bekenu dan Simpang Batu Niah. Pada hari ketiga Gawai Isnin lalu pula berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Simpang Alambumi, Lebuh Raya Pan Borneo Miri-Bintulu tetapi kesemua lima mangsa selamat. Di Julau, seorang maut dan dua cedera selepas terlibat dengan kemalangan kendiri di Jalan KJD, 200 meter ke arah Julau pada jam 10.15 malam Isnin lalu.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata berdasarkan kajian, kelalaian dan kecuaian manusia sendiri merupakan penyumbang tertinggi kepada kemalangan jalan raya selain faktor cuaca, jalan dan bentuk muka bumi yang menyumbang lima peratus faktor kemalangan jalan raya.
Sarawak mencatatkan sebanyak 5,278 kes kemalangan jalan raya dari Januari hingga Mac tahun ini dengan 75 kes melibatkan kemalangan maut.
“Pengguna perlu sentiasa mematuhi peraturan sedia ada dan berhemah ketika memandu di atas jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Kes kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan terutama pada musim perayaan susulan penambahan bilangan kenderaan di jalan raya. Kemalangan boleh berlaku kerana statistik sudah menunjukkan punca utama kemalangan adalah faktor manusia, tingkah laku dan sikap.
“Contohnya, memandu secara melulu, memandu secara agresif, memandu tidak mengikut lorong yang sepatutnya, memandu laju dan sekali-sekala dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Jadi semua ini adalah faktor manusia. Oleh itu kita perlu benar-benar menerapkan budaya keselamatan dalam setiap diri pengguna jalan raya,” katanya.
Kebakaran jejaskan Gawai Dayak
TURUT menyedihkan ialah apabila berlaku kebakaran walaupun tidak membabitkan nyawa, tetapi harta benda musnah.
Kebakaran meranapkan kegembiraan sambutan perayaan Hari Gawai bagi 325 penghuni sebuah rumah panjang di Nanga Sigu, Pandan, Sebauh, kira-kira 147 kilometer dari Bintulu pada awal pagi 2 Jun lalu. Rumah Ugop Umpin sepanjang 43 pintu yang terletak di kawasan pedalaman telah terbakar seratus peratus.
Empat hari sebelum Gawai pada 28 Mei lalu pula, kebakaran rumah panjang berlaku di Kampung Long Bangan Apoh di Baram, memusnahkan 14 daripada 102 pintu rumah dan seramai 46 penghuni hilang tempat tinggal. Mujurlah tindakan berani penghuni rumah panjang berjaya menyelamatkan 88 pintu lain dengan bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air yang ada.
Tiada apa yang boleh dilakukan oleh pihak bomba yang terpaksa menempuh perjalanan lebih enam jam melalui jalan balak untuk sampai ke tempat kejadian dari Marudi, dan sebaik tiba 14 pintu rumah telah terbakar sepenuhnya. Terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah motosikal juga telah terbakar sepenuhnya.
Menurut Pemangku Pengarah Bomba Sarawak Tiong Ling Hii, antara Januari hingga April tahun ini, enam kebakaran rumah panjang telah direkodkan dengan empat daripadanya dapat diselamatkan bersama harta benda bernilai RM1.45 juta.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak akan berusaha mengaktifkan semula pasukan bomba sukarela yang dibatal pendaftaran. “Ia perlu bagi memastikan masa tindakan jabatan itu mencapai sasaran nasional walaupun berdepan cabaran muka bumi dan aksesibiliti. Setakat ini terdapat 58 pasukan bomba sukarela di seluruh negeri, namun 20 daripadanya dihenti operasi oleh pendaftar pertubuhan kerana tidak aktif.
“Oleh itu kita akan mencari kaedah macam mana nak membantu mengaktifkan semula pasukan tersebut. Beberapa program telah dirangka dan akan dilaksanakan pada tahun ini juga bagi memastikan kesemua Pasukan Bomba Sukarela ini bergiat aktif seiring dengan hasrat JBPM Sarawak,” katanya seperti dilaporkan media.
Kita berharap lebih banyak pasukan bomba sukarela ditubuhkan terutama di rumah panjang dan kampung di luar bandar serta pedalaman yang jauh daripada jangkauan anggota bomba. Sekurang-kurangnya mereka tahu asas pemadaman kebakaran, sebelum ketibaan anggota bomba.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.