KUCHING: Penghayatan Rukun Negara bukanlah sekadar ungkapan semata-mata, namun ia penting dan harus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Begitulah pandangan yang dilontarkan Setiausaha Agung Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar, usai ditanyakan berkaitan Rukun Negara yang menjangkau usia 50 tahun tahun ini.
Marzuki yang juga Setiausaha Agung RISEAP sejak tahun 2006 dan juga Pengerusi HIKMAH Kuching berkata, kewujudan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di negara ini sememangnya sinonim dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembudayaan patriotisme termasuk menyemarak semangat cintakan Rukun Negara yang merupakan salah satu aktiviti anjuran JAPEN yang masih kekal diingatannya ialah aktiviti Wayang Pacak.
Mengimbas memorinya tentang wayang pacak, Marzuki berkata suatu ketika dulu wayang pacak JAPEN cukup dikenali oleh masyarakat terutama di kawasan pedalaman seperti rumah panjang dan kampung.
Keunikan aktiviti wayang pacak JAPEN kongsinya, selain menghiburkan penduduk kampung dengan tayangan filem wayang, ia turut diselitkan dengan pengisian maklumat bersifat patriotik dan kenegaraan daripada pegawai lapangan JAPEN.
“Jika wayang pacak ini dihidupkan serta dirancakkan semula oleh JAPEN, tidak mustahil aktiviti tersebut mampu membantu menyemai semangat cintakan negara dan Rukun Negara di kalangan generasi muda.
“Mungkin dengan situasi kini wayang pacak kurang mendapat sambutan di bandar, namun tidak mustahil ia masih mendapat sambutan di kawasan luar bandar”, ujar Marzuki lagi.
Menyentuh berkaitan prinspip yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Marzuki berpandangan semua rakyat berbilang agama wajar berpegang teguh kepada Rukun Negara kerana kepentingan mengamalkan kepercayaan beragama ini telah menjadi asas utama dalam Rukun Negara.
Marzuki menerangkan beliau bersama RISEAP juga mengadakan inisiatif menyemai Rukun Negara dalam program anjuran RISEAP dengan menekankan toleransi budaya dan perayaan menerusi konsep menghormati perbezaan dan meraikan perbezaan terutamanya dalam sambutan perayaan kaum lain.
“Contohnya di Sarawak, masyarakat yang berlainan agama dan kaum boleh duduk semeja minum kopi bersama, namun bila bersembang tidak pula kita menyentuh sensitiviti agama yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat Sarawak”, ujar beliau sambil tersenyum.
Menelusuri pandangan salah seorang anggota JAPEN Sarawak, Mahdini Jaini berkaitan amalan prinsip Rukun Negara pula, beliau berkata sebagai rakyat Malaysia, rakyat seharusnya mempraktikkan amalan kelima-lima prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian agar menjadi rakyat Malaysia yang memiliki jati diri dan beretika moral tinggi.
“Saya secara peribadi amat menyanjung tinggi kesemua prinsip Rukun Negara kerana setiap dari kelima-lima prinsip yang ada memainkan peranan untuk membentuk acuan keperibadian seseorang individu.
“Mengambil contoh prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, adalah satu tanggungjawab besar untuk kita sebagai individu yang sayangkan negara mengamalkan budaya bersopan santun dan menerapkan nilai-nilai murni ketika bergaul dengan masyarakat dalam suasana positif seperti bertoleransi serta bersikap baik dengan orang keliling serta sentiasa membudayakan amalan senyum kerana dalam agama juga amat digalakkan kita bermanis muka untuk merapatkan silaturahim”, kata Mahdini.
Kata Mahdini lagi, baru- baru ini beliau berasa cukup bertuah kerana dapat membantu JAPEN menyebar luas kepentingan Rukun Negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 kewujudannya menerusi siri video ‘Khabar Dari Sarawak (KDS)‘ yang ditayangkan menerusi laman sosial Facebook dan Youtube milik JAPEN Sarawak.
“Menerusi siri Khabar Dari Sarawak, saya bersama rakan-rakan JAPEN lain diberi peluang untuk berkongsi pandangan dan kreativiti dalam menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan orang ramai.
“Sepanjang Bulan Kebangsaan sehingga tempoh sambutan Hari Malaysia pada 16 September kelak, pelbagai siri KDS yang memberi fokus kepada penerapan semangat kenegaraan akan disiarkan menerusi platform digital JAPEN, bagi membangkitkan semangat membudayakan amalan patriotik rakyat Malaysia”, kongsi Mahdini.
Kesimpulannya, Rukun Negara sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi rakyat Malaysia. Namun demikian, keindahan setiap rangkap dan bait ini dalam lima prinsip tersebut haruslah terus menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian nasional sejak ia diisytiharkan.
Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin wajar menjadi garis panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha memartabatkan kedaulatan negara di mata dunia.