KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menjadikan integriti sebagai budaya dalam segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen ini telah diterjemahkan dengan baik dalam bentuk perancangan dan gerak kerja anggota pentadbiran serta perkhidmatan negeri Sarawak.
Katanya, sepanjang tempoh dua tahun ini, seluruh negara telah diduga dengan pelbagai cabaran dalam mentadbir dan mengurus negeri akibat pandemik Covid-19 bagaimanapun jentera kerajaan berupaya menempuh rintangan yang tidak pernah dialami selama ini dengan efisien dan berkesan.
“Ini membuktikan penjawat awam di negeri ini sentiasa bersedia dan berupaya menyesuaikan diri dengan apa jua bentuk perubahan persekitaran samada dari segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi.
“Malahan kelemahan akibat penularan pandemik Covid-19 telah menjadi tunjang kekuatan kerajaan dalam memacu dan memperkukuhkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-60 (Jubli Intan) penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Abang Johari berkata, barisan penjawat awam negeri ini merupakan jentera utama dalam menggerakkan pentadbiran Kerajaan Sarawak.
Katanya, selaku badan eksekutif yang bertanggungjawab dalam melantik penjawat awam, SPANS telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan dalam melahirkan penjawat awam yang berupaya mengangkat martabat negeri ini ke satu tahap yang tinggi dan boleh menjadi teladan kepada perkhidmatan awam yang lain.
“Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perkara 38A Perlembagaan Negeri Sarawak yang menghendaki penjawat awam mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu kompeten, efisien dan responsif.
“Sejajar dengan itu, saya amat berharap agar penjawat awam negeri ini dapat menjadi pasukan yang berkesan untuk merealisasikan visi mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah ekonomi digital dan berupaya mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO