SRI AMAN: Jackson Bar Runi, 23 tahun yang menghidap sejarah sakit sawan dan dilaporkan hilang sejak 20 November lalu, ditemukan meninggal dunia hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata mangsa telah ditemui oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 10.25 pagi tadi.
“Sekitar jam 10.25 pagi, kami menerima maklumat dari pasukan penyelamat di lokasi, yang memaklumkan bahawa mangsa telah dijumpai di hilir Sungai Dor dalam jarak 1.6 kilometer (km) dari rumah mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi sungai ke jalan utama Sri Aman- Kuching dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sri Aman,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, operasi SAR yang telah diaktifkan sejak 21 November lalu telah ditamatkan sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
SAR yang memasuki hari kelapan pada hari ini telah bermula pada jam 8.30 pagi dan hasil perbincangan serta taklimat antara agensi, pencarian di permukaan air menggunakan bot, dilakukan di kawasan Loji Rawatan Air Melugu serta hilir sungai dalam radius 2km dari loji terbabit.
Terdahulu, dalam kejadian 20 November lalu lebih kurang jam 10 pagi bertempat di Rumah Jinis, Tekalong Melugu Scheme, mangsa dilaporkan telah keluar rumah dan tidak memberitahu kepada ahli keluarga kemana beliau pergi.