

MACAU: Pelakon aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan, menjadi sasaran kritikan netizen selepas satu video yang memaparkan aksinya dianggap terlalu mesra dengan penyanyi Joey Yung tular di media sosial.
Insiden itu berlaku ketika acara The Greater Bay Area Film Concert 2025 yang berlangsung di Macau pada 28 September lalu. Dalam video tersebut, Jackie Chan, 71, dilihat duduk bersebelahan Joey Yung, 45, sebelum meletakkan tangan di belakang kerusi penyanyi itu.
Jackie juga dilihat menepuk belakang Joey yang ketika itu mengenakan gaun berpotongan terbuka dan memeluk bahunya secara ringkas.
Tindakan tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen, yang menyifatkannya sebagai tidak profesional dan berunsur gangguan seksual.
Joey kemudian dilihat bangun dan menukar tempat duduk dengan bantuan Pengerusi Emperor Group, Albert Yeung, yang juga merupakan individu berpengaruh dalam industri hiburan serta penaung kerjaya Joey.
Insiden itu menerima reaksi berbeza apabila segelintir pihak berpendapat situasi tersebut hanyalah salah faham dan tiada niat buruk daripada Jackie Chan.
Menjawab isu yang tular, pengurus Joey Yung, Mani Fok, tampil menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur gangguan seksual berlaku.
Menurutnya, tindakan Jackie Chan hanya merupakan isyarat sopan untuk memaklumkan bahawa Albert Yeung akan kembali ke tempat duduk asal.
Mani turut memaklumkan bahawa tempat duduk sepanjang acara telah ditetapkan dan dilabel mengikut nama.
Penukaran tempat duduk berlaku bagi membolehkan Joey bergambar bersama dua selebriti lain.
Pihak pengurusan berharap isu ini tidak diperbesarkan dan menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi tanpa memahami konteks sebenar kejadian. – Agensi