
SEKTOR pertanian merupakan sektor pekerjaan terawal di dunia termasuk di Sarawak. Usaha membangunkan sektor pertanian di Sarawak telah digerakkan sejak abad ke-19. Namun demikian, sebuah badan khusus untuk memantau dan menggerakkan usaha tersebut masih belum wujud ketika itu.
Pada ketika itu, sektor pertanian hanya bertumpu kepada inisiatif penduduk tempatan yang mengusahakan tanaman sara diri seperti padi, kelapa, buah-buahan, sayur-sayuran dan pengeluaran sagu.
Pada pertengahan abad ke-19, Raja Charles Brooke membawa masuk komuniti Cina dari Singapura untuk mengusahakan tanaman gambir dan lada hitam. Perkembangan ini dirancakkan lagi dengan pembangunan tanaman getah pada awal abad ke-20.
Penubuhan
Seterusnya, usaha untuk mewujudkan sebuah badan atau jabatan bagi mengurus soal pertanian dan penternakan muncul apabila Stesen Penyelidikan Pusat (Central Experimental Station) ditubuhkan pada 1926.
Pada awalnya, pusat ini dikenali sebagai Tapak Semaian Tanaman Ekonomi Import (Nursery for Imported Economic Plants). Badan tersebut merupakan nukleus kepada pembentukan dan perkembangan Jabatan Pertanian di Sarawak.
Penubuhan badan ini merupakan satu usaha yang signifikan dalam memajukan ekonomi Sarawak. Ketika itu, fungsi utama jabatan tersebut adalah menguruskan hal ehwal pertanian dan penternakan.
Bagi sektor penternakan pula, ia turut bertanggungjawab menyelia ladang tenusu kerajaan yang terletak di Kuching.

Dalam hal ini, usaha yang digerakkan berfokus kepada pemberian pendidikan dan panduan kepada petani tempatan selaras dengan dasar yang ditetapkan. Kesannya, para pegawai kelihatan komited dalam meningkatkan kemahiran pertanian moden dalam kalangan masyarakat petani.
Pada masa sama penyebaran maklumat juga dibuat untuk menyebar risalah dalam Bahasa Melayu (jawi) dan Cina untuk tujuan tersebut. Pada akhir 1920-an penyebaran maklumat itu juga termasuklah pelbagai topik seperti penanaman kelapa sawit, tanaman penutup bumi (cover crops), pemusnahan tikus, kawalan anai-anai, perosak padi dan lain-lain.
Salah satu inisiatif yang dirancang bagi memperkembangkan sektor pertanian di Sarawak ialah penubuhan kebun sekolah (school garden) secara berperingkat di sekolah-sekolah seluruh negeri.
Pelaksanaan program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang pertanian sejak peringkat awal persekolahan.
Pada masa sama, usaha tersebut diharapkan dapat memupuk minat generasi muda terhadap sektor pertanian dan menyokong pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
Bagi menjayakan rancangan ini, langkah awal telah diambil untuk mengadakan kerjasama dengan Pengarah Pendidikan, yang mana pelaksanaannya bermula pada 1930.
Cabaran
Namun demikian badan ini menghadapi masalah sejak awal penubuhannya. Ini kerana ketiadaan pakar sama dalam kalangan orang Barat atau tempatan (Asia) yang dapat membantu menggerakkan matlamat badan tersebut.
Pada penghujung 1920-an, badan ini menghadapi satu lagi cabaran besar, iaitu kemelesetan ekonomi dunia yang turut menjejaskan Sarawak. Impak daripada krisis kewangan tersebut, badan berkenaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan dengan memberhentikan beberapa orang kakitangannya.
Keutamaan pengurusan sektor pertanian pada ketika itu adalah berfokus kepada kawalan dan pengendalian penanaman getah bagi mendepani impak krisis tersebut.
Keperluan
Pada lewat 1930-an, berlaku ketidakstabilan politik antarabangsa yang mempengaruhi bekalan makan dunia termasuk bekalan beras. Sarawak juga tidak terkecuali dengan masalah ini.
Dalam hal ini Jabatan Pertanian telah menjemput C. L. Newman dari Perkhidmatan Pertanian Tanah Melayu untuk membantu meningkatkan pengeluaran beras di Sarawak.
Dalam lawatan penyelidikan selama dua bulan Newman ke Sarawak pada 1938, beliau mencadangkan beberapa perkara dalam peningkatan hasil beras Sarawak.
Cadangan ini termasuk soal menambah kawasan penanaman padi sawah dan beberapa cadangan tentang kemudahan meningkatkan penanaman padi.
Rentetan daripada sumbangan tersebut, pentadbiran Brooke telah melantik beliau secara rasmi sebagai Pengarah Jabatan Pertanian pada 1940. Tanggungjawab utama beliau adalah untuk melonjakkan pengeluaran beras domestik di Sarawak; satu langkah kritikal yang didorong oleh meletusnya Perang Dunia Kedua yang menuntut peningkatan tahap sara diri bagi menghadapi krisis bekalan makanan.
Di bawah kepimpinannya, satu skim penanaman padi sederhana telah diperkenalkan di tiga kawasan strategik. Kawasan tersebut merangkumi Sungai Pasir yang terletak berhampiran Lundu, Bijat di Bahagian Kedua (Sri Aman) dan Pujut Lopeng yang berdekatan dengan Miri.
Dalam aspek kakitangan Jabatan Pertanian, beliau telah menyusun semula jabatan tersebut dengan melantik tiga petugas pertanian Eropah, 27 orang tempatan (Asia) di dalam struktur organisasi rasmi, dan staf sementara seramai 40 orang sebagai inspektur.
Selain itu beliau juga bertanggungjawab dalam meningkatkan bilangan orang Sarawak untuk dilatih di Sekolah Pertanian Serdang, Tanah Melayu. Namun demikian usaha beliau ini tidak bertahan kerana pada Disember 1941 Jepun telah menyerang Sarawak. Newman dikatakan terbunuh dalam serangan awal tersebut.
Penyatuan
Selepas tamatnya perang, kerajaan tentera yang mentadbir Sarawak telah cuba memulihkan semula keadaan di Sarawak seperti sebelum perang. Dalam hal ini mereka telah menyatukan Jabatan Pertanian dengan Jabatan Perhutanan, Tanah dan Survei.
Pada peringkat awal, jabatan ini bertanggungjawab memulihkan semula operasinya dengan mengesan dan mendapatkan kembali kakitangan yang pernah berkhidmat sebelum tercetusnya perang.
Usaha tersebut berjaya apabila sebahagian besar bekas kakitangan jabatan berkenaan, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan, dapat dikenalpasti dan diserap semula ke dalam perkhidmatan.
Di samping itu, usaha maksimum dilakukan bagi menyelamatkan peralatan jabatan daripada dijarah dan dirosakkan. Matlamat utama jabatan kemudian tertumpu kepada pemulihan bekalan makanan melalui galakan penanaman tanaman makanan.
Pemulihan
Apabila pentadbiran awam dipulihkan pada 15 April 1946, Jabatan Pertanian masih belum dipisahkan dengan Jabatan Tanah dan Survei. Ketika itu, D. L. Leach dilantik sebagai pengarah bagi jabatan tersebut, manakala persuruhjaya untuk Jabatan Tanah dan Survei di setiap bahagian bertindak sebagai pegawai pertanian.
Selepas itu secara beransur-ansur jabatan ini dipisahkan dengan Jabatan Tanah dan Survei. Usaha awal dilakukan adalah memisahkan ibu pejabat jabatan tersebut pada November 1946.
Jabatan ini kemudiannya dipisahkan secara keseluruhan pada awal 1947. Dalam proses pemisahan ini R. W. R. Miller dilantik sebagai pemangku Pengarah Jabatan Pertanian.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).