
PUTRAJAYA: Pesawah padi di negara ini diingatkan untuk tidak menggunakan benih padi yang tidak sah atau tidak berdaftar di bawah Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP).
Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata penggunaan benih padi tidak sah atau dibawa masuk secara haram dari luar negara adalah dilarang sama sekali dan perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522), Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.
“Di bawah akta ini juga, benih padi yang dibawa masuk secara haram boleh dirampas dan sekiranya telah ditanam, pokok padi tersebut boleh dimusnahkan apabila didapati tidak mematuhi mana-mana peruntukan di dalam akta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sistem pengesahan benih padi sah di bawah SPBP melibatkan proses kawalan yang ketat bermula daripada benih baka dan asas yang dikeluarkan oleh pembiak baka, benih padi daftar dan sah yang dikeluarkan oleh pengeluar benih padi sah sebelum diedarkan kepada pesawah.
Nor Sam berkata proses di bawah skim itu dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi memperakukan ketulenan genetik dan identiti varieti benih padi serta kualiti benih padi yang dikeluarkan oleh pengeluar benih padi yang sah dilantik.
Beliau berkata fenomena penggunaan benih padi varieti tidak berdaftar seperti ‘Hibrid China’, ‘Hibrid Indonesia’, ‘Padi 85 Hari’, ‘Padi Taiwan’ dan lain-lain yang kini kerap dijual dan seterusnya ditanam tanpa kawalan rasmi, amat membimbangkan.
Nor Sam berkata varieti tidak berdaftar itu tidak menjalani pengesahan dari aspek ketulenan genetik, ketahanan penyakit, atau kesesuaian iklim setempat.
Beliau berkata ketiadaan maklumat saintifik itu boleh menyebabkan tanaman lebih mudah terdedah kepada serangan penyakit bawaan kulat, bakteria serta serangga perosak, terutamanya dalam keadaan cuaca tidak menentu.
“Risiko utama ialah, apabila varieti tidak sah ini tidak bebas penyakit, ia berpotensi menjadi sumber jangkitan yang merebak ke sawah-sawah berdekatan, seterusnya mengancam pengeluaran hasil secara menyeluruh. Ini boleh menyebabkan kejatuhan hasil padi dan kekurangan bekalan beras negara,” katanya.– Bernama