
KUCHING: Sebanyak 10 kerusi menunggu bersambung dan tujuh kerusi rawatan boleh laras telah disumbangkan kepada Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta ahli keluarga yang menunggu rawatan kecemasan di hospital berkenaan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sumbangan tersebut berjaya direalisasikan hasil sokongan orang ramai dan penderma yang tampil membantu selepas keperluan itu dimaklumkan oleh pihak hospital pada awal November lalu.
“Iniisiatif berkenaan dilaksanakan susulan maklumat mengenai kekurangan kerusi di Jabatan Kecemasan HUS, khususnya ketika bilangan pesakit meningkat pada waktu kemuncak.

“Kekangan kemudahan asas seperti kerusi memberi kesan langsung kepada keselesaan pesakit dan ahli keluarga yang terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan tersebut di HUS, di sini hari ini.
Dato Wee menegaskan bahawa tanggungjawab memastikan kebajikan pesakit serta persekitaran rawatan kecemasan yang lebih selesa perlu dikongsi bersama oleh semua pihak tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata maklum balas segera diterima sebaik sahaja rayuan disuarakan, sekali gus membolehkan pembelian dan penghantaran kerusi berkenaan dilaksanakan dalam tempoh singkat.

“Di Jabatan Kecemasan, pesakit dan ahli keluarga sering berdepan tempoh menunggu yang panjang sama ada untuk rawatan segera, pemantauan lanjut atau pengambilan ubat. Kemudahan asas seperti kerusi memberi kesan besar kepada keselesaan mereka,” ujarnya.
Jumlah keseluruhan sumbangan bagi pembelian kerusi tersebut ialah RM12,000, dengan barangan diperoleh secara import terus bagi memastikan kualiti lebih baik dan tahan lama.
Dato Wee berkata, usaha menambah baik kemudahan Jabatan Kecemasan HUS akan diteruskan dengan kerjasama orang ramai, sambil menegaskan bahawa semua sumbangan adalah bersifat sukarela dan amat dihargai.
“Sumbangan ini bukan sekadar menyediakan tempat duduk, tetapi membantu menjaga keselesaan dan maruah pesakit, ahli keluarga serta petugas kesihatan di Jabatan Kecemasan,” katanya.
Oleh Adele Rissa