PETRA JAYA: Jabatan Audit Negara kini sedang dalam proses meminda Akta Audit 1957 [Akta 62] yang melibatkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan terhadap beberapa peruntukan sedia ada, jelas Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Menurutnya, antara lain, pindaan tersebut akan memberi ruang kepada Ketua Audit Negara untuk menyusul tindakan penambahbaikan oleh kementerian atau jabatan/agensi dalam usaha memantapkan tatakelola pengurusan wang awam.
“Selain itu, pendekatan baharu ‘follow the public money’ akan memastikan wang awam disusuri dengan lebih berkesan, bagi menentukan ia dibelanjakan atau digunakan bagi mencapai objektif yang ditetapkan, serta diurus dengan teratur.
“Pengauditan pengurusan syarikat kerajaan juga akan diperluaskan dan diberi penekanan yang lebih mendalam,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024; Memperkasa Tatakelola Mendepani Cabaran Masa Kini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambahnya lagi, seiring dengan perkembangan teknologi ini, Jabatan Audit Negara juga mengambil inisatif untuk meningkatkan kecekapan proses pengauditan melalui pendigitalan.
“Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara kini disasarkan mulai bulan Jun 2025. Dengan adanya sistem pendigitalan baharu ini, pengauditan JAN diharap akan dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan komprehensif melalui analisis data besar.
“Kerjasama strategik yang lebih menyeluruh dan berterusan antara JAN dengan Firma Audit Swasta (FAS) juga akan diberi penekanan dalam menyokong usaha JAN untuk memperkasa tata kelola di semua peringkat.
“…Dan kepakaran FAS dalam pengurusan kewangan syarikat misalnya diharap akan dapat membantu JAN dalam pelaksanaan Pindaan Akta 62 kelak,” jelasnya.
Untuk rekod, pada tahun ini, JAN akan mengeluarkan persijilan bagi 476 Penyata Kewangan, serta menerbitkan 3 Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang melibatkan pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi Kerajaan, pengauditan pengurusan syarikat kerajaan serta pengauditan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Mengenai Persidangan Juruaudit Kebangsaan pada kali ini dengan tema “Memperkasa Tatakelola: Mendepani Cabaran Masa Kini”, seiring dengan dasar kerajaan MADANI di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan kepentingan tatakelola dalam pengurusan wang awam, demi melonjakkan semula Malaysia di persada antarabangsa.
Topik- topik yang dibahas dan dibincang dalam Persidangan ini meliputi pendigitalan organisasi, peranan Audit Dalam untuk memantapkan tatakelola serta usaha-usaha pemerkasaan tata kelola dalam situasi yang penuh cabaran masa kini.
Lontaran idea dan gagasan bernas daripada juruaudit dan pemain industri daripada pelbagai sektor, pastinya akan membuahkan hasil yang mampan dan dinamik.
Oleh Azreen Keria