
KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Industri Universiti Komuniti dan Persidangan Penyelidikan Pascasiswazah Swinburne Sarawak ke-5 (IUC SSPRC 2025) bermula dari 13 hingga 15 Ogos ini.
Acara yang akan diadakan di kampus berkenaan membawa tema ‘Beyond Boundaries – Unleashing Research to Enable Real-World Impact’, bertujuan mendorong perubahan dan memperkasa impak penyelidikan terhadap komuniti.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan pemimpin pemikiran, pakar industri, penyelidik akademik serta rakan komuniti bagi meneroka pertembungan antara teknologi, inovasi dan kemajuan masyarakat melalui perbincangan ilmiah, pembentangan bermanfaat serta peluang jaringan kerjasama.
Antara tarikan utama adalah platform penting kepada pelajar pascasiswazah untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka serta berinteraksi merentas pelbagai disiplin ilmu.
Ini satu jemputan berani untuk mencabar norma, meruntuhkan tembok pemisah dan menterjemah penyelidikan kepada tindakan bermakna kata Dr Elaine Yeu Yee Lee, Pengerusi Penganjur Persidangan
Presiden Persatuan Penyelidikan Pascasiswazah Swinburne Sarawak Chew Yick Eu turut menyatakan keterujaannya terhadap penganjuran ini.
Antara pengisian menarik sepanjang tiga hari penganjuran termasuk sesi ucaptama yang menampilkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, serta forum IUC yang menyediakan perbincangan panel mendalam mengenai isu dan tren semasa. Turut diadakan ialah sesi IUC Spark yang mencetus idea-idea kreatif dan inovatif.
Selain itu, terdapat sesi pameran projek pelajar yang memaparkan penyelidikan terkini serta aplikasi dunia sebenar, di samping peluang jaringan yang membuka ruang untuk membina hubungan bersama penggiat industri, penyelidik dan rakan sejawat.
Acara ini dibuka kepada tetamu jemputan serta pelajar dan alumni yang telah mendaftar.
Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh didapati di www.swinburne.edu.my/events/ssprc-2025 atau hubungi urus setia di IUC SSPR C25@swinburne.edu.my