
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan dakwaan bahawa seorang warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru di Sabah merupakan isu sama yang tular pada 2019.
JPN dalam kenyataan memaklumkan isu membabitkan pemegang kad pengenalan Mohd Izaz Abit telah diambil tindakan selepas timbalan pendakwa raya mendapati individu berkenaan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain.
“Kad pengenalan berkenaan juga telah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu dan penganjur permohonan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular dakwaan beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru dan dakwaan bahawa pejabat JPN Sabah sentiasa dipenuhi warga Pakistan untuk membuat permohonan kad pengenalan.
Turut tular beberapa gambar kad pengenalan yang didakwa membabitkan warga Pakistan.
JPN memaklumkan semakan kesahihan mendapati pemegang kad pengenalan Abd Rauf Bin Hamzah, Mohd Abzah Ulamai Dar dan Said Bashar Bin Shah Zadar, iaitu individu yang ditularkan, berstatus warganegara di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon.
“Proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” menurut kenyataan itu.
JPN menegaskan syarat-syarat berkenaan hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin permohonan tersebut diluluskan kerana sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak akan memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya atau sebarang keistimewaan tertentu. – Bernama