SIBU: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah tidak pasti apa sebenarnya berlaku terhadap bayi sembilan bulan yang meninggal dunia dalam perjalanan bersama ibunya untuk mendapatkan rawatan perubatan di Kuching.
Video mengenai isu itu tular sejak Isnin lalu.
Difahamkan ibu dari Julau itu mahu membawa bayi yang sakit itu ke hospital di Kuching, malangnya ketika dalam perjalanan ke hospital, bayi itu ditemui dalam keadaan lemah dan sudah tidak bermaya apabila mereka singgah di perhentian Jelukong.
Fatimah berkata, ibu bapa sepatutnya mendapatkan bantuan dari klinik atau hospital berdekatan jika anak mereka sakit dan memerlukan rawatan segera.
“Apabila mereka sakit (kanak-kanak), kita perlu pergi ke hospital yang terdekat supaya tahu apa yang berlaku, kemudian kita mendapatkan rawatan dan menyerahkannya kepada pakar untuk memutuskan apa tindakan seterusnya.
“Doktor akan memutuskan ke mana mereka (kanak-kanak sakit) akan pergi selepas jika hospital tiada pakar atau tidak cukup peralatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini, ketika ditanya mengenai isu video tular itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, biasanya jika bayi dirujuk ke hospital terdekat dan mereka tidak menawarkan perkhidmatan atau rawatan sedemikian, pihak hospital akan membantu memindahkan pesakit ke hospital lain seperti Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Dalam satu kes di Mukah misalnya, bayi itu dilahirkan dengan banyak komplikasi. Seorang pakar dan doktor di Mukah mengesyorkan ibu dan anak itu ke HUS dan menyediakan mereka Helikopter.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku di sini (kes dalam video) kerana jika kanak-kanak itu kritikal, doktor tidak akan membenarkannya berbuat demikian.
“Kita pernah mendengar perkhidmatan doktor udara dan sebagainya. Sekiranya ia adalah kes serius, doktor atau jururawat mesti menemani mereka, dalam kes ini, terdapat banyak tanda tanya,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN