
SIBU: Program Jangkauan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan dilaksanakan di 13 zon seluruh Sarawak bagi memastikan tiada kawasan terpinggir daripada menerima bantuan serta inisiatif kerajaan.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata pendekatan itu membolehkan program diubah suai mengikut kesesuaian kawasan termasuk dilaksanakan secara berskala kecil jika perlu.
“Seperti tema program ini, ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’, pelaksanaannya bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tanpa mereka perlu hadir ke pejabat kerajaan untuk memohon,” katanya ketika menangguhkan program berkenaan di Dewan Kompleks Islam Sibu, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Fatimah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif di bawah kementeriannya, seiring usaha memajukan negeri.
“Dari hasil kemajuan negeri, ia dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan inisiatif. Tiada kerajaan negeri lain di negara ini yang memiliki komitmen seperti Sarawak,” katanya.

Beliau berkata sambutan menggalakkan terhadap program itu akan menjadi inspirasi untuk penambahbaikan pada pelaksanaan di zon-zon seterusnya demi kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Fatimah memaklumkan kementeriannya sedang menyiapkan kertas kerja mengenai masalah penggunaan vape dalam kalangan pelajar di Sarawak.
Katanya, statistik menunjukkan penggunaan vape oleh pelajar di Sarawak adalah tertinggi di negara ini, sekali gus memerlukan tindakan segera termasuk kempen kesedaran.
“Kertas kerja ini akan dibentangkan di kabinet negeri bagi mendapatkan pandangan serta merangka dasar khusus untuk mengelakkan pelajar dan belia terjebak dengan penggunaan vape,” katanya.
Oleh Tarani Lanting