Isu telekomunikasi Lawas perlu diselesaikan segera

Facebook
WhatsApp
KERJASAMA ERAT...Henry Sum menerima cenderamata daripada Pengerusi Persatuan Kebudayaan Cina Lawas Liaw Ho Peng sambil disaksikan Ladin.

LAWAS: Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berharap kementerian dan agensi berkaitan di peringkat negeri serta Persekutuan dapat menyelesaikan segera isu perkhidmatan telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, banyak aduan diterima pihaknya berhubung masalah telekomunikasi yang menurutnya telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

“Pada hari ini, perkhidmatan telekomunikasi merupakan sesuatu yang penting dan kita tidak mahu aduan ibu bapa mengenai masalah telekomunikasi ini terus menjadi isu besar

“Sekarang ini, anak-anak yang ingin mendaftar kemasukan ke universiti awam atau swasta perlu berbuat demikian secara dalam talian. Kalau tiada internet, bagaimana mereka hendak mendaftar dan memohon pelbagai bantuan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada sambutan perayaan Kuih Bulan di Arena Lawas, malam tadi.

Menurut Henry Sum, isu berkenaan bukan perkara baharu dan beliau bersama Awang Tengah telah beberapa kali membangkitkannya dalam pertemuan dengan menteri yang bertanggungjawab.

“Di Parlimen, saya telah menyuarakan perkara ini secara terus kepada menteri bertanggungjawab mengenai perkhidmatan internet di Lawas yang amat teruk.

“Perkara ini telah kita alami bertahun-tahun dan janji pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya juga sudah bertahun-tahun, tetapi masih belum selesai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, beliau bersama Awang Tengah akan terus membawa isu berkenaan kepada pihak berkaitan supaya ia dapat diselesaikan segera seperti yang dijanjikan.

Oleh Adeng Edrus