LAWAS, 9 Oktober: Masalah telekomunikasi, khususnya liputan internet yang tidak konsisten dan lemah di daerah Lawas, perlu diberi perhatian serius.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, isu berkenaan telah berulang kali dibangkitkan kepada pihak bertanggungjawab dan kementerian berkaitan supaya tindakan lebih serius diambil.
“Isu telekomunikasi dan internet merupakan masalah utama yang sering dibangkitkan oleh penduduk di Lawas.
“Kita amat berharap isu ini dapat diberi perhatian serius, walaupun pihak berkenaan telah berjanji untuk menyelesaikannya sebelum hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan wakil sebuah syarikat dari Indonesia yang berhasrat mengembangkan perniagaan di Lawas.
Awang Tengah berkata, teknologi angkasa semakin penting dalam menggerakkan sektor ekonomi berasaskan teknologi digital.
Justeru, perkhidmatan telekomunikasi yang baik menjadi asas penting kepada perkembangan ekonomi digital masa kini.
“Bersyukurlah kita di Lawas ini kalau dapat liputan 3G atau 4G. Biasanya 2G, malah kadangkala isyarat hilang terus.
“Teknologi digital semakin penting dan kita amat berharap perkembangan semasa membolehkan penduduk memilih teknologi satelit atau alternatif lain sekiranya penggunaan talian gentian optik masih berdepan masalah,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus





