KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan berbincang bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak mengenai isu tuntutan tambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata perbincangan itu bagi meneliti semula tuntutan berhubung pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak dari sudut perundangan.
Katanya, keputusan untuk perbincangan itu dibuat setelah isu ini dibincangkan pada mesyuarat Majlis
Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusi Perdana Menteri pada 12 September lalu.
“Tuntutan berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan antara agenda diberikan penekanan utama Kerajaan Madani untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat petang semalam bagi menjawab persoalan ditimbulkan beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan.
Di Dewan Rakyat minggu lalu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab mendesak Kerajaan Persekutuan supaya segera meminda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.
Fadillah juga berkata selain isu kerusi Parlimen, tuntutan Sarawak dan Sabah mengenai pemberian khas, sempadan laut dan bayaran royalti minyak, setem juga telah dibincang September lalu.
“Ini supaya tuntutan melibatkan Mineral Minyak dan Medan Minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), Hak Negeri Ke Atas Pelantar Benua dan Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum dibincang oleh kepimpinan peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Di samping itu, tuntutan mengenai duti setem dibincangkan dalam forum berasingan memandangkan ia melibatkan tafsiran undang-undang dan memerlukan penelitian semula oleh pihak-pihak berkenaan.
Sementara itu, Fadillah menjelaskan, sebanyak 11 tuntutan yang dibincang di bawah MTPMA63 selesai sepenuhnya.
Katanya, tujuh tuntutan di bawah Kerajaan MADANI dan empat di bawah kerajaan terdahulu.
11 Tuntutan selesai sepenuhnya:
i) di bawah Kerajaan MADANI (tujuh tuntutan)
ii) di bawah kerajaam terdahulu (empat tuntutan)
b) Dua tuntutan selesai sebahagian/ interim.
c) Tiga tuntutan telah mempunyai keputusan dasar.
d) Lapan tuntutan dalam perbincangan.
e) Lima tuntutan masih belum dapat diputuskan dan perlu dirujuk untuk perbincangan peringkat tertinggi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) berkata, tuntutan berkaitan pelaksanaan MA63 merupakan antara agenda yang diberi penekanan utama Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10.
“Ini adalah untuk diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada,” katanya.