
ROBAN: Isu sekolah daif di kawasan luar bandar yang masih menunggu proses naik taraf akan dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pertengahan November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, antara perkara utama yang akan diusulkan ialah kelewatan pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman yang menjejaskan keselesaan dan keselamatan murid serta guru.
“Masih banyak sekolah di kawasan luar bandar yang berdepan dengan kemudahan serba kekurangan.
“Saya akan mengusulkan perkara ini pada Persidangan DUN Sarawak nanti agar tindakan segera dapat diambil untuk mempercepatkan projek menaik taraf sekolah-sekolah terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Randau bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban semalam.
Dalam majlis itu, beliau menyerahkan peruntukan sebanyak RM7,000 kepada PIBG SK Ulu Roban bagi menyokong aktiviti sekolah.
Selain itu, Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin, turut mengadakan sesi randau bersama Lembaga Pengurusan Sekolah dan PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Roban.
Dalam sesi berkenaan, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM6,000 masing-masing kepada Lembaga Pengurusan Sekolah dan PIBG SJK Chung Hua Roban bagi tujuan peningkatan aktiviti pendidikan dan kebajikan pelajar.
Chee Kadir turut meninjau kawasan sekitar sekolah serta berbincang mengenai keperluan penambahbaikan infrastruktur, termasuk penyelenggaraan bangunan dan kemudahan asas.
Beliau menegaskan, usaha memperkukuh sistem pendidikan di luar bandar perlu diberi perhatian serius agar jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak ke arah pembangunan menyeluruh.
Oleh Adi Safarman