Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Isu remaja hamil luar nikah perlu ditangani menerusi sokongan, perlindungan – Fadhlina
  • PENDIDIKAN

Isu remaja hamil luar nikah perlu ditangani menerusi sokongan, perlindungan – Fadhlina

Utusan Sarawak 2 hours ago
MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan yang terlibat dalam kehamilan luar nikah akan terus dibantu bagi memastikan mereka kembali ke sekolah serta mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata peluang sewajarnya harus diberikan kepada golongan itu untuk menyambung pelajaran bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pendidikan.

“Mereka harus kembali menyambung pendidikan mereka selepas habis pantang. Bab ini saya sangat tegas. Tidak boleh ambil jalan mudah dalam hidup kerana pendidikan ialah kunci untuk keluar daripada kitaran keganasan dan kembali menjadi insan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) biasanya akan membantu anak-anak ini kembali ke sekolah dan memastikan mereka mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa keciciran pendidikan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Fadhlina menegaskan isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja perlu ditangani menerusi pendekatan berasaskan sokongan, perlindungan dan pendidikan bagi memastikan kebajikan ibu serta anak terus terpelihara.

Beliau berkata sebaik mengetahui mengenai kehamilan itu, remaja berkenaan perlu dibawa ke pusat kesihatan atau klinik desa berhampiran untuk membuka buku rekod kesihatan ibu mengandung  (buku pink).

“Fokus kepada kandungan dan kesihatan anak gadis ini terlebih dahulu. Lebih muda usia anak-anak ini, lebih kritikal kandungan dan kesihatan mereka. Semua sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan bersedia dan mempunyai kepakaran ini,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar membuat laporan polis serta membawa anak gadis mereka bertemu kaunselor dengan segera bagi membolehkan remaja berkenaan berkongsi kisah sebenar untuk membuat tindakan lanjut.

Terdahulu, Fadhlina berkongsi mengenai laporan media berhubung kes seorang ibu muda yang mengaku bersalah menyebabkan kematian bayinya di Johor semalam.

Sebagai seorang aktivis yang pernah mengusahakan rumah perlindungan Bayt Al-Rahmah, iaitu sebuah rumah perlindungan untuk gadis hamil luar nikah, kisah berkenaan sangat menghibakan. 

Mengulas lanjut mengenai dilema ibu bapa dalam mendepani situasi itu, termasuk perasaan malu dan marah, beliau berkata institusi seperti Bayt Al-Rahmah berperanan penting dalam memberikan perlindungan yang selamat sehingga saat melahirkan.

“Kerajaan juga menyediakan sokongan perlindungan yang sama. Boleh rujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dapatkan perlindungan di bawah institusi kerajaan,” katanya.

Fadhlina turut mengingatkan tempoh postpartum adalah fasa kritikal yang boleh mengundang kepada kemurungan atau meroyan sekiranya tidak dijaga dengan baik.

Beliau berkata sokongan penjagaan bayi yang ketat merangkumi aspek kesihatan, penyusuan serta kaunseling berterusan amat dititikberatkan bagi memastikan golongan ibu muda ini tidak mengalami tekanan.

“Apa yang jauh lebih penting ialah kita mengambil sikap “preventive” (mencegah) dan “supportive” (mendukung) ketika mencari solusi kepada masalah sosial ini.

“Kita boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak-anak ini jika mengambil langkah awal, percaya kepada sistem (bukan percaya dengan mulut orang) dan membina jaringan sistem sokongan dalam masyarakat yang kuat,” katanya. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Permohonan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik dibuka hingga 3 Julai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.