
PETRA JAYA: Kertas Kabinet akan dikemukakan bagi membolehkan pelaksanaan projek di Sarawak disesuaikan mengikut keperluan negeri yang mungkin berbeza daripada Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan keperluan untuk mendapatkan hala tuju dasar daripada Kabinet bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek di Sarawak, terutama di kawasan terpencil.
Menurutnya, model yang dicadangkan untuk Sarawak juga berpotensi diguna pakai di Sabah, terutamanya bagi kawasan luar bandar.
“Misalnya, bagi projek pembinaan sekolah di kawasan terpencil yang dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi termasuk peruntukan, kekurangan kontraktor, isu logistik, sumber manusia serta bahan binaan.
“Akibatnya, projek tidak dapat dilaksanakan, tergendala atau dibatalkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Bil. 1/2025 (MTPNG) bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadillah menambah bahawa hala tuju jelas dari Kabinet adalah diperlukan bagi menangani isu-isu tersebut secara khusus, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan projek di negeri itu.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali. – UKAS