Senator Dato Ahmad Ibrahim
KUCHING: Petros dan Petronas bukan dua entiti yang bersaing, sebaliknya dua rakan strategik dalam memastikan kelangsungan tenaga negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata tindakan Sarawak menegaskan peranan perundangan dan komersialnya dalam sektor minyak dan gas adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO1958) yang masih berkuat kuasa di negeri ini.
“Ini bukan soal ‘mengambil alih’ kuasa, tetapi soal memulihkan keseimbangan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan wilayah seperti yang termaktub dalam semangat penubuhan Malaysia.
“Sebarang pelarasan tenaga kerja atau penyusunan semula dalaman Petronas adalah keputusan korporat yang dibuat berdasarkan keadaan pasaran global dan realiti ekonomi semasa.
“Menjadikan Sarawak sebagai punca atau ‘kambing hitam’ kepada keputusan perniagaan sebegini adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad yang juga Naib Presiden, Majlis Senator Malaysia berkata Petronas kekal sebagai antara syarikat tenaga paling disegani di rantau ini, manakala Petros pula memainkan peranan melengkapkan ekosistem tenaga negara melalui penglibatan tempatan, ketelusan dan pembangunan mampan.
Katanya, projek Loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri adalah bukti nyata bahawa Sarawak bukan sekadar bercakap tentang autonomi, tetapi melaksanakannya dengan disiplin dan tanggungjawab.
Lebih separuh tenaga kerja di tapak projek katanya, adalah anak Sarawak, lebih 70 juruteknik tempatan telah dilatih di dalam dan luar negara, dan beberapa pakej utama dilaksanakan oleh kontraktor tempatan.
“Apabila siap sepenuhnya pada 2027, loji ini akan menjadi loji moden pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja Sarawak.
“Ini ialah bentuk pemberdayaan sebenar (real empowerment) yang Sarawak perjuangkan — bukan sekadar slogan politik,” katanya.
Beliau berkata usaha Sarawak memperkukuh kawalan terhadap sumbernya bukanlah tuntutan baharu, tetapi penegasan hak asal yang dijamin di bawah MA63.
Sarawak dan Sabah memasuki Malaysia sebagai rakan setara (equal partners), dan penglibatan aktif dalam sektor tenaga, karbon, dan ekonomi hijau adalah sumbangan kepada kemakmuran bersama Malaysia, bukan ancaman terhadap perpaduan nasional.
Oleh itu katanya, apabila Sarawak menjadi lebih kukuh, Malaysia juga akan menjadi lebih makmur.
Ahmad juga menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini berhubung kekeliruan serta maklumat tidak tepat mengenai Petronas, Petros dan hala tuju ekonomi Sarawak.
“Saya melihat perlu untuk memperkukuh penjelasan tersebut dengan fakta dan konteks perlembagaan yang sebenar, agar rakyat tidak terus terkeliru atau termakan dengan naratif yang sengaja digerakkan untuk menyalahkan Sarawak.
“Saya menyeru semua pihak — terutama pengguna media sosial — supaya tidak menyebarkan naratif yang memecah-belahkan rakyat atau yang menyelewengkan fakta demi kepentingan politik jangka pendek.
“Marilah kita bersama menyokong kebenaran, mengukuhkan perpaduan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha membina masa depan tenaga yang adil dan mampan untuk seluruh Malaysia,” katanya.