
PETRA JAYA: Pertikaian berlarutan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak berkaitan pengurusan minyak dan gas terus mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin serta rakyat di Borneo, khususnya susulan tindakan membawa isu berkenaan ke Mahkamah Persekutuan walaupun rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada pendekatan perundangan mampu meredakan keadaan atau sebaliknya hanya memburukkan lagi hubungan Persekutuan–negeri dalam sistem federalisme negara.
Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata luahan kekecewaan pemimpin Borneo kebelakangan ini mencerminkan sentimen sebenar rakyat Sarawak dan Sabah terhadap polemik yang berpanjangan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu wawancara baru-baru ini yang menyentuh kegusaran terhadap pertelagahan berterusan antara Persekutuan dan negeri.
“Saya akur dan saya setuju. Begitulah perasaan ramai orang Sarawak apabila melihat keadaan di Semenanjung. Di Sarawak dan Sabah, isu perkauman bukan masalah besar. Kita hidup harmoni sebagai Dayak, Melayu, Cina dan Melanau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersempena kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Belia Sukan Negara, Azura Abidin di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, rakyat di Borneo mengharapkan negara yang aman dan progresif, namun pertikaian yang kerap diperdebatkan di peringkat nasional, khususnya berkaitan hak negeri, menimbulkan kekeliruan dan ketidakselesaan walaupun isu berkenaan tidak memberi kesan besar di Sarawak dan Sabah.
Beliau berkata, kekecewaan itu turut berpunca daripada perbahasan di Parlimen kebelakangan ini, termasuk isu pengurusan minyak dan gas yang dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan undang-undang.
Menurutnya, perkara berkenaan telah lama dibincangkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, dengan kedua-dua pihak menghantar pasukan masing-masing dan mencapai beberapa persetujuan awal.
“Kalau ada masalah, dua pemimpin boleh duduk berbincang. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Karim mempersoalkan tindakan Petronas memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Persekutuan secara mengejut.
Abdul Karim mendakwa tindakan Petronas memfailkan tindakan undang-undang berkenaan berkemungkinan mendapat persetujuan Perdana Menteri memandangkan syarikat minyak negara itu berada secara langsung di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.
“Petronas hanya melapor kepada Perdana Menteri. Jadi wajar dipersoalkan sama ada langkah itu dibuat dengan restu,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan beberapa pemimpin Persekutuan ketika kes masih dalam pertimbangan mahkamah, yang menurutnya boleh menimbulkan persepsi cubaan mempengaruhi proses perundangan serta meningkatkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah.
Abdul Karim menegaskan, apa juga keputusan Mahkamah Persekutuan kelak, sama ada memihak kepada kerajaan Persekutuan atau negeri, ia tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya isu tersebut tidak ditangani melalui dialog dan persefahaman.
“Kalau keputusan itu memihak kepada kita, mungkin ada rasa lega. Jika tidak, adakah Sarawak akan berasa puas? Tidak. Ia tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.
Menurut beliau, perasaan kekecewaan dan ketidakpercayaan itu perlu ditangani segera kerana ia memberi kesan terhadap keyakinan rakyat terhadap sistem Persekutuan dan keharmonian negara.
Oleh Shahrul Qaizat