Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Isu perubahan iklim dikupas seminar antarabangsa anjuran Majlis Islam Sarawak
  • TEMPATAN

Isu perubahan iklim dikupas seminar antarabangsa anjuran Majlis Islam Sarawak

Utusan Sarawak 16 hours ago
RASMI… Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi merasmikan
Seminar Antarabangsa mengenai Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim: Satu Perspektif Multidimensi berlangsung selama dua hari di Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

KUCHING: Seminar antarabangsa mengenai Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim: Satu Perspektif Multidimensi membuka tirai hari ini dengan menampilkan perbincangan mendalam merangkumi aspek sains, kemanusiaan dan etika Islam dalam menangani cabaran perubahan iklim global.

Seminar selama dua hari yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak itu dianjurkan Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), sempena sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan MIS.

Lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara menghadiri seminar tersebut, terdiri daripada ahli akademik, pembuat dasar, pakar kelestarian dan penggiat masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, yang mewakili Premier Sarawak.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ke arah pembangunan mampan, termasuk pelancaran Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 (Sarawak 2030 Sustainability Blueprint).

Pelan tersebut merangkumi 10 teras strategik dan 111 tindakan konkrit yang menyasarkan peralihan kepada ekonomi hijau dan rendah karbon menjelang 2030.

“Antara sasaran utama ialah memastikan 60 peratus tenaga Sarawak dijana daripada sumber boleh diperbaharui, memperkasa ekonomi hidrogen dan solar, serta menyiapkan 400 stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negeri menjelang akhir 2025,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak juga komited untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan keadilan sosial, menerusi pendekatan seperti rangka kerja peralihan adil bagi komuniti luar bandar dan penilaian kerentanan iklim terhadap projek infrastruktur utama.

Turut disentuh ialah usaha mengintegrasikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam dasar negeri dan entiti berkaitan kerajaan (GLC).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi IKIM, Emeritus Profesor Dato’ Dr Mohd Yusof Othman, dalam ucapan alu-aluan beliau, menegaskan bahawa perubahan iklim merupakan isu global yang rumit dan memerlukan pendekatan merentas disiplin yang menggabungkan sains, nilai kemanusiaan dan panduan spiritual.

Beliau turut berkongsi statistik yang menunjukkan lebih 12,000 bencana berkaitan iklim telah berlaku sejak 1970, mengakibatkan jutaan nyawa terkorban dan kerugian melebihi AS$4.3 trilion.

Seminar ini turut mengangkat prinsip Islam sebagai kerangka penyelesaian kepada krisis iklim melalui nilai rahmah, keseimbangan dan akauntabiliti, serta membuka ruang wacana merentas budaya dan agama dalam memperkukuh kefahaman bersama.

Antara pembentang utama ialah Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, dan wakil antarabangsa Mr Lachy Haynes dari PwC Australia, yang berkongsi pengalaman serta pendekatan global dalam isu peralihan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Peserta turut menyertai sesi tematik yang membincangkan pelbagai topik termasuk tadbir urus lestari, teknologi hijau, serta peranan komuniti dalam adaptasi iklim.

Seminar ini juga menyaksikan pelancaran beberapa penerbitan baharu terbitan IKIM seperti Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam, Islam dan Disruptive Technologies, serta Pertanian: Perspektif Islam, sebagai usaha memperkukuh wacana ilmiah dan pembangunan dasar berteraskan nilai Islam.

Menutup ucapannya, Prof. Dato’ Dr Mohd Yusof menggesa agar semua peserta menjadikan usaha melindungi alam sekitar sebagai amanah kolektif yang dituntut oleh agama, dengan memastikan setiap dasar dan tindakan yang dilaksanakan berpaksikan keadilan, ihsan dan tanggungjawab terhadap generasi akan datang.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Presiden Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Oleh Norman B.

Continue Reading

Previous: Wilfred Yap defends Dr Sim’s healthcare reforms, calls for focus on solutions over politics
Next: Cuaca panas berpanjangan jejas bekalan air di Ba’ Kelalan, ADUN gesa tindakan segera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.