
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa hak minyak dan gas negeri ini tetap dilindungi di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, sekali gus menolak dakwaan bahawa hak tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri, Chong Chieng Jen, sebelum ini mendakwa bahawa Sarawak telah mengakui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman (gambar), menyatakan bahawa Chong sepatutnya meminta penjelasan lanjut daripada menteri berkenaan di Parlimen, bukannya menyerang kerajaan Sarawak selepas kembali ke Kuching.
“Mengapa beliau (Chong) memilih untuk berdiam diri di Parlimen tetapi lantang bersuara selepas pulang ke Sarawak?
“Jika benar-benar mahu memperjuangkan hak Sarawak, tempat terbaik untuk bersuara adalah di parlimen, bukan sekadar mencetuskan persepsi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendirian Sarawak adalah jelas sejak dahulu lagi, iaitu PDA 1974 dan OMO 1958 perlu wujud bersama bagi memastikan hak negeri terhadap sumber minyak dan gas terus terpelihara.
“Sarawak tidak pernah menyerahkan hak minyak dan gasnya malah kami sentiasa berpegang teguh pada dasar bahawa hak ini adalah milik negeri dan mesti dipertahankan,” tegasnya.
Fazzrudin juga menggesa Chong agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru hanya demi mencari populariti, sebaliknya benar-benar memperjuangkan hak Sarawak dengan tindakan yang lebih konstruktif.
“Jika populariti yang beliau (Chong) inginkan, saya yakin rakyat Sarawak lebih menghargai Ahli Parlimen yang benar-benar memperjuangkan hak Sarawak berbanding sekadar menjerit mengenainya.
“Ini bukan soal menuding jari atau meraih populariti, tetapi soal mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak.
“Jika benar mahu berjuang, lakukan di tempat yang betul,” tambahnya lagi.
Beliau yakin bahawa Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited dalam memperjuangkan hak negeri dan akan meminta penjelasan lanjut daripada menteri berkenaan semasa sesi penggulungan di Parlimen.
Isu ini dijangka terus menjadi perbincangan hangat di peringkat negeri dan persekutuan, dengan harapan agar hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gas kekal terjamin.