
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata semua pihak perlu menghormati proses menerusi saluran perundangan.
Mengulas kenyataan terkini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak mengambil pendirian berdisiplin dan enggan terlibat dalam retorik awam.
“Tunggu keputusan mahkamah. Tunggu keputusan mahkamah,” katanya berulang kali kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Abang Johari diminta mengulas kenyataan Azalina bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan juga tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Azalina dipetik sebagai berkata bahawa MA63 berfungsi sebagai dokumen asas yang menggariskan pembentukan Malaysia, termasuk beberapa hak dan autonomi bagi Sabah dan Sarawak.
“Namun, MA63 tidak merangkumi peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan juga tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petronas atau Petros,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan Datuk Ali Anak Biju (PN–Saratok).
Ali Biju bertanya mengenai pendirian semasa Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (Perintah dalam Majlis 1954 berbanding Akta 142 Tahun 2012), serta sejauh mana rundingan MA63 mempengaruhi kuasa dan kawalan Petronas.
Menurut Azalina lagi, rangka kerja pengurusan dan pengawalseliaan industri minyak dan gas ditentukan di bawah perundangan Persekutuan.
Beliau merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144), yang memberikan pemilikan penuh sumber petroleum kepada Petronas.
Pada 12 Januari lalu, Petronas telah memohon kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang dan peraturan yang mengawal operasi minyak dan gasnya di Sarawak.
Dalam permohonan itu yang difailkan secara e-filing, Petronas menamakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sebagai pihak responden dalam permohonan berkenaan.
Dalam satu kenyataan, syarikat minyak negara berkata, permohonan itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia yang berkenaan serta amalan tadbir urus yang baik.
Namun, kerajaan Sarawak secara konsisten menegaskan bahawa hak-haknya kekal dilindungi di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958, iaitu undang-undang negeri yang wujud sebelum pembentukan Malaysia.
Sarawak menegaskan bahawa hak-hak tersebut tidak pernah dilepaskan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Oleh Norman B