KUCHING: Isu berkisar kepada tuntutan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dijangka dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat mulai 19 Disember ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata ia akan dibincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Beberapa janji termasuk hak-hak Sarawak akan dibincangkan bersama Perdana Menteri pada sesi persidangan Parlimen pada 19 hingga 22 Disember ini.
“Antara janji-janji yang perlu ditunaikan ialah MA63. Perjanjian itu adalah fokus utama kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak rakyat di negeri ini sehingga tercapai,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna dan program kempen sifat plastik 2022 di SK Matang Jaya, di sini hari ini.
Ahmad berkata usaha mendapatkan semula hak-hak Sarawak yang terhakis juga semakin cerah setelah Dato Sri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, pelantikan itu adalah sejarah kerana buat kali pertama rakyat dari Borneo dilantik ke jawatan kedua tertinggi negara.
Malah katanya, pelantikan Fadillah adalah tepat kerana beliau seorang yang cukup berpengalaman luas dalam bidang politik.
Ahmad juga menyokong tindakan Anwar memotong 20 peratus gaji Menteri Kabinet Persekutuan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT