
SIBU: Empat pemuda dijatuhkan denda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Sibu hari ini selepas mengaku bersalah merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza pada 4 Jun lepas.
Tertuduh, Christopher Ling Kah Hong (23), Ricky Chong Kin Chen (22), Hafiz Zurraman Norhakim (20), dan Joe Sebastian Patrick (21) didakwa bersama merosakkan cermin belakang, lampu belakang kiri dan kanan serta cermin pintu kereta milik seorang wanita, menyebabkan kerugian sebanyak RM5,670.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong Sukun 8, Sibu, pada 11.12 malam dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara minimum setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pada 4 Jun, berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan jirannya berikutan kucing pengadu membuang air besar di laman rumah jiran. Kemudian, sekitar 11.12 malam, keempat-empat tertuduh yang dipercayai kenalan jiran pengadu datang ke rumah mangsa dan merosakkan keretanya menggunakan batang kayu selepas mangsa enggan keluar.
Pengadu membuat laporan polis dan keempat-empat tertuduh ditahan pada pagi keesokan harinya di Jalan Laichee. Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara kedua-dua pihak, selain laporan serangan oleh teman lelaki anak pengadu terhadap jiran turut dibuat.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan bebas setelah membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed Hassan.
Oleh Akun Giman