ISU mengenai kemanusiaan merupakan satu isu yang penting dalam sejarah dunia. Ini kerana kejadian perang, bencana alam, penghapusan etnik dan penindasan kaum membawa kepada masalah kepada penduduk yang mengalaminya.
Hal ini membawa kepada kematian, kecederaan, kebuluran dan masalah penyakit serta pelarian. Oleh itu masalah seumpama ini dipandang serius oleh masyarakat dunia agar ia tidak berlarutan dan keamanan tercapai. Masyarakat dunia akan membantu sebaik mungkin untuk meringankan penderiaan mangsa-mangsa yang mengalami kesusahan ini.
Boikot
Pada zaman Brooke, isu kemanusiaan memang menjadi perhatian penduduk Sarawak terutama dalam kalangan orang Cina. Ini kerana mereka amat prihatin dengan permasalahan berlaku di China. Pada 1920-an dan 1930-an China mengalami tekanan kuasa imperialisme asing terutama dari Jepun.
Pada 1928 misalnya tentera Jepun telah menghalang kemaraan tentera nasionalis China ke utara. Reaksi balas daripada orang Cina seberang laut terhadap hal ini dibuktikan dengan memboikot barangan dan perkhidmatan Jepun. Di Sarawak keadaan serupa berlaku apabila orang Cina enggan untuk mengendali kargo-kargo barang dari kapal Jepun.
Berita
Kesedaran tentang isu-isu kemanusiaan ini datang dari dua sumber iaitu perkhabaran lisan daripada pihak yang datang ke Sarawak dan juga menerusi surat khabar. Namun demikian Sarawak Gazette tidak mempunyai bahagian berita luar negara.
Hanya sedikit sahaja berita-berita luar dipaparkan dan ada juga catatan tentang lawatan ke luar negara seperti ke China dan Jepun.
Dalam hal ini berita-berita luar negara banyak disebar luas oleh media cetak yang datang dari luar Sarawak. Walaupun tahap kenal huruf di Sarawak tidak tinggi ketika itu, ia tidak menghalang penyebaran surat khabar dari luar.
Jawi Peranakan, salah satu akhbar terawal di Tanah Melayu dan Singapura, misalnya mempunyai wakil mereka di Sarawak. Jawi Peranakan memaparkan pelbagai berita dalam dan luar negara yang secara tidak langsung menghubungkan Sarawak dengan dunia luar.
Kemunculan surat khabar pertama berbahasa Melayu Sarawak iaitu Fajar Sarawak pada 1930 memaparkan berita-berita dalam dan luar negara. Isu Palestin misalnya pernah dilaporkan oleh akhbar tersebut dengan tajuk Tembok Meratap. Berita pergaduhan kaum di Afghanistan juga pernah dilaporkan oleh akhbar ini dengan merujuk kepada pergaduhan antara Shinwaris (Syinuari) dengan Kohistanis (Kukayani).
Laporan berita mereka di China pula tentang bahayanya komunis. Dalam laporan ini menyatakan tentang keganasan Tentera Merah di Simaku, Hankou. Diberitakan tentang kebakaran rumah, dan sebanyak 200 orang telah terkorban. Dilaporkan tentang tindakan Tentera Merah merampas harta awam yang bernilai $600,000.
Walaupun surat khabar ini tidak panjang usianya tetapi secara tidak langsung ia telah menyebar berita tentang masalah penduduk dunia. Hal ini menunjukkan keprihatinan penduduk Sarawak mengenai masalah kemanusiaan yang berlaku di dunia ketika itu.
Tabung Bantuan
Apabila situasi di China pada 1937 menjadi genting dengan serangan Jepun ke atas China yang bukan sahaja menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan anggota tentera malah juga melibatkan orang awam.
Pertempuran di Nanyuan berdekatan dengan Peking pada Julai 1937 menyaksikan kira-kira 1,000 orang awam terkorban dan cedera. Pembunuhan beramai-ramai di Nanking antara Disember 1937 hingga Januari 1938 mengorbangkan beribu-ribu orang awam. Kem-kem pelarian di Hanyang juga tidak terkecuali daripada serangan udara apabila pada September 1937 kem tersebut dibom. Seramai 60 orang terkorban dan ramai yang cedera.
Berita kesusahan penduduk China ini mendapat reaksi daripada penduduk Sarawak. Pada Oktober 1937, Ong Tiang Swee mengadakan jualan serbaneka (jumble sale) bagi mengutip derma untuk China Relief Fund. Wang yang dikumpulkan ini digunakan bagi membantu China ketika berdepan kesan serangan tersebut.
Jualan serbaneka itu diadakan selama tiga hari iaitu dari 29 hingga 31 Oktober 1937. Sebanyak 32 gerai diwujudkan dengan menjual pelbagai jenis barang. Jualan serbaneka ini berjaya mengumpul derma sebanyak $6,761.32.
Pada 1939 Ong Tiang Swee sekali lagi mengadakan jualan serbaneka untuk mengutip derma China Relief Fund. Usaha ini dilakukan di Steamship Godowns, Kuching. Gerai dibuka oleh sekolah-sekolah di sekitar Kuching. Gerai-gerai juga dibuka oleh Jabatan Pertanian yang menjual ayam, buah-buahan dan bijih benih untuk tujuan penanaman.
Apa yang menariknya dalam usaha mengutip derma ini ialah terdapatnya sokongan kaum Melayu untuk memeriahkan acara tersebut. Kampong Tanjong Malay Band bersama-sama dengan Sarawak Union Club Minstrel Party mendapat jemputan untuk memainkan muzik pada majlis tersebut. Majlis itu berjaya mengutip derma sebanyak $7,500.
Selain masalah perang, keprihatinan penduduk Sarawak juga jelas dalam membantu mangsa-mangsa bencana alam. Ini termasuklah bencana banjir berlaku di China pada 1931. Masyarakat Cina di Sarawak telah mengadakan kutipan derma menerusi China Flood Relief Fund. Sesiapa yang ingin memberi sumbang boleh memberinya kepada Bendahari Kehormat badan tersebut.
Pelbagai kaum
Keprihatinan penduduk Sarawak dalam isu-isu kemanusiaan ini tidak mengenal latar belakang bangsa. Apabila meletusnya perang di Eropah pada 1939, terdapat usaha orang Melayu membantu dalam soal keamanan ini.
Hal ini ditunjukkan oleh Malay Union Club di Sibu yang mengadakan pengumpulan dana untuk disumbangkan kepada Sarawak War Effort Fund dan Chinese Relief Fund. Usaha ini digerakkan pada penghujung 1940 dan berhasil mengutip derma daripada orang ramai.
Dengan ada usaha seumpama ini menunjukkan bahawa penduduk Sarawak daripada pelbagai kaum sedar tentang masalah kemanusiaan yang dialami oleh penduduk-penduduk dunia yang terkesan daripada perang dan bencana alam. Kesedaran ini tidak pernah luput sehingga ke hari ini dengan mendoakan dunia terus dalam keadaan aman dan damai dari krisis peperangan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
- Dr Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.