SESAK … Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar di Johor yang merupakan pintu masuk bagi Tambak Johor-Singapura dilihat mengalami kesesakan lalu lintas terutama laluan dari Singapura ketika tinjauan dari Skyscape yang terletak di tingkat 34 Menara Jland semalam. Situasi ini dapat dilihat pada waktu puncak pada hari biasa dan bertambah teruk terutama pada cuti hujung minggu atau cuti umum apabila melibatkan kedua-dua negara. • Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini memberi jaminan bahawa Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.3 dan 6.3 peratus tahun ini dan menyifatkan cakap-cakap mengenai kemelesetan global sebagai “terlalu awal dan suatu yang tidak sepatutnya”.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh dasar fiskal pengembangan kerajaan serta dasar monetari akomodatif.
Tengku Zafrul berkata Malaysia dijangka menyaksikan momentum pertumbuhan selanjutnya pada suku kedua selepas merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar kukuh pada 5.0 peratus bagi suku pertama tahun ini.
“Bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dengan sebarang potensi negatif. Terdapat potensi risiko (disebabkan) oleh perang di Ukraine, harga komoditi tinggi dan dasar moneteri global yang diperketatkan. Sehubungan itu kerajaan perlu memastikan fleksibiliti fiskal yang mencukupi pada masa depan bagi menangani risiko seumpama itu.
“Itulah sebabnya mengapa kita berhasrat untuk mengurangkan secara beransur-ansur defisit fiskal daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 6.0 peratus pada 2022 dan juga merasionalkan subsidi menjadi lebih bersasar,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Kementerian Kewangan semalam.
Tengku Zafrul berkata kegagalan untuk memenuhi obligasi hutang merupakan risiko utama bagi negara-negara sekiranya berlaku kemelesetan global tetapi ia bukan risiko bagi Malaysia kerana risiko itu dapat dikurangkan berikutan pendedahan rendahnya kepada hutang luaran, dengan kurang daripada 3.0 peratus dalam mata wang asing.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membiayai keperluan pinjaman kerajaan dan sektor swasta. – Bernama