

Kuching hari ini. -Foto UKAS
KUCHING: Pengambilan balik petugas kesihatan dari Sarawak yang ditempatkan di luar wilayah ini akan terus dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) yang akan diadakan dalam bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara ini memerlukan perspektif Kerajaan Persekutuan serta kekosongan jawatan di Sarawak.
“Yang penting adalah untuk melihat perkara ini daripada perspektif pentadbiran sama ada dapat dilaksanakan dan juga jawatan yang ada di Sarawak di mana perlu dilihat secara keseluruhan termasuk keperluan keseluruhan Kementerian Kesihatan.
“Kalau orang Sarawak (di luar wilayah) nak balik ke sini mungkin jawatan (yang disandang) tiada diberikan di Sarawak maka kita kena lihat secara praktikal serta pentadbiran,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) @ Satok, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan, penempatan petugas kesihatan di luar Sarawak adalah perkara yang baik terutamanya dalam membentuk asimilasi dengan negeri-negeri lain di Malaysia atas dasar semangat Malaysia.
Kelmarin, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian menyatakan, mesyuarat JKTMTPMA63 kali ini juga akan membincangkan tentang membawa balik lebih daripada 800 petugas rakyat Sarawak yang bekerja di luar wilayah untuk berkhidmat kembali di Sarawak di bawah autonomi kesihatan yang dituntut oleh Sarawak.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu dipetik sebagai berkata, ini bagi memenuhi keperluan petugas kesihatan di seluruh Sarawak tanpa menunggu keputusan daripada Kuala Lumpur. -UKAS