
SELANGAU: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa isu hak milik tanah bagi komuniti di kawasan Skim Penempatan Semula Sekuau akan dibawa untuk perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, kawasan penempatan tersebut pada asalnya dibiayai sebahagiannya oleh Kerajaan Persekutuan ketika ia diwujudkan, dan kini usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan status pemilikan tanah tersebut.
“Kerajaan Negeri dan Persekutuan kini dalam perbincangan bagi membolehkan tanah ini diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri, supaya ia dapat diagihkan kepada masyarakat seperti yang dijanjikan dahulu.
“Kemungkinan setiap keluarga akan diberikan beberapa ekar tanah, manakala sebahagian lagi akan diperuntukkan untuk pembangunan kemudahan asas seperti balai polis, klinik, sekolah dan infrastruktur lain.
“Namun, penyelesaian status pemilikan tanah adalah prasyarat utama sebelum sebarang pembangunan lain boleh dilaksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Skim Penempatan Semula Nanga Sekuau di sini, hari ini.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Fadillah, berkata pihaknya akan menyiasat status semasa tanah terbabit, selaras dengan persetujuan sedia ada antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Sebarang tanah milik Kerajaan Persekutuan yang tidak digunakan akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan bagi tujuan yang telah dipersetujui.
“Sudah pasti kawasan penempatan semula ini menjadi antara keutamaan,” tegas beliau.
Tambahnya, beliau akan membawa perkara ini ke peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh yang segera.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang dalam ucapan aluannya membangkitkan isu hak milik tanah yang belum diselesaikan meskipun penduduk telah mendiami kawasan itu sejak 50 tahun lalu.
“Setelah sekian lama menetap dan membina kehidupan di Skim Penempatan Semula Sekuau, penduduk masih belum memperoleh geran hak milik tanah yang sah.
“Kami memohon jasa baik YAB agar isu ini diberi keutamaan.
“Hak milik yang sah bukan sahaja memberikan ketenangan, tetapi juga membuka peluang kepada penduduk untuk membangunkan tanah mereka secara lebih terancang dan berdaya saing,” ujar beliau.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman, Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan serta tetamu kehormat lain.
Oleh Akun Giman