SIBU: Sarawak mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyenaraikan semua nama yang dipanggil untuk temu duga bagi Pengambilan Khas Guru Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata ini kerana terdapat kes di mana orang bukan anak Sarawak dipanggil untuk temu duga di bawah kontrak perkhidmatan (COS).
“Kesilapan, ketidaktelusan dan ketidakpekaan oleh SPP dalam pengambilan guru di bawah COS, yang pada awalnya bertujuan untuk rakyat Sarawak dan dipersetujui, telah menyebabkan banyak kritikan daripada rakyat Sarawak.
“Kritikan itu pula turut ditujukan kepada Kemeterian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) terutamanya kepada menteri dan timbalan menteri.
“Oleh itu, SPP harus tampil memberi penjelasan, SPP harus memaklumkan kepada orang ramai mereka yang dipanggil untuk temu duga di bawah COS,” katanya.
Dr Annuar berkata senarai nama bakal guru untuk proses temu duga juga harus diberikan kepada MEITD selaku kementerian yang bertanggungjawab untuk pendidikan di Sarawak.
Katanya, SPP harus segera memberi penjelasan mengenai pengambilan guru di bawah COS dengan mengeluarkan senarai nama mereka yang dipanggil untuk temu duga kepada orang ramai.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, tuntutan ini datang sendiri daripada beliau kerana pernah bertanyakan perkara sama dari SPP Sarawak tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
“Pengambilan tidak ada kena mengena dengan MEITD dan hanya di bawah prerogatif SPP, tetapi ia tidak bermakna kita akan berdiam diri dalam perkara yang telah dipersetujui sebelum ini antara MEITD dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“MEITD sentiasa memperjuangkan peningkatan pendidikan untuk memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
“Kami (MEITD) bukan yang mengkhianati persefahaman, tetapi SPP yang mengendalikan (latihan itu) telah menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya.
Baru-baru ini, dilaporkan bahawa lebih 1,700 calon yang disenarai pendek di bawah pemacu pengambilan guru khas untuk Sarawak, merangkumi 300 pemohon yang mempunyai kelayakan mengajar dari luar Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam sidang media di Sibu, baru-baru ini melahirkan rasa kecewa terhadap SPP kerana tidak menunaikan janji membenarkan 1,733 kekosongan yang ada di bawah pemacu pengambilan khas itu diisi oleh rakyat Sarawak.
Katanya, kementerian sebelum ini telah menulis surat kepada suruhanjaya itu meminta latihan itu untuk rakyat Sarawak sahaja.
Oleh AKUN GIMAN