KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Sarawak hari ini mempersoalkan apa yang terjadi terhadap janji Pengambilan Khas Guru Sarawak, yang bagaikan dimungkiri.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata pihak Kementerian Pendidikan (KKM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) perlu memberi penjelasan terperinci mengenai isu yang sudah menjadi polemik di Bumi Kenyalang.
“Kementerian dan SPP perlu memberi penjelasan terperinci kepada kerajaan Sarawak agar polemik ini dapat di redakan. Adakah benar pihak SPP telah
memungkiri janji dan kenapa ini terjadi?
“Saya juga ingin bertanya, berapakah jumlah keseluruhan calon guru yang memohon melalui inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini?
“Berapa orangkah calon dari Sarawak termasuk dari negeri lain? Berapa orangkah calon yang telah di senarai pendek untuk di temuduga dan berapakah jumlah guru yang akan di ambil untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak?
“Saya juga ingin tahu berapa orangkah, calon guru asal Sarawak yang berjaya dalam temuduga. Dan apakah kriteria-kriteria pemilihan.
“Selain itu, saya ingin tahu bilakah penempatan guru baharu akan berkuatkuasa. Dan setelah inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini selesai, berapakah lagi jumlah kekosongan guru di Sarawak sama ada Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah,” katanya.
Beliau membangkitkan itu ini ketika berucap membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, dilaporkan bahawa lebih 1,700 calon yang disenarai pendek di bawah pemacu pengambilan guru khas untuk Sarawak, merangkumi 300 pemohon yang mempunyai kelayakan mengajar dari luar Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam sidang media di Sibu, baru-baru ini melahirkan rasa kecewa terhadap SPP kerana tidak menunaikan janji membenarkan 1,733 kekosongan yang ada di bawah pemacu pengambilan khas itu diisi oleh rakyat Sarawak.
Katanya, kementerian sebelum ini telah menulis surat kepada suruhanjaya itu meminta pengambilan itu untuk rakyat Sarawak sahaja.
Menurut Ahmad Johnie lagi, isu itu telah menjadi polemik yang mengganggu emosi banyak pihak termasuk Roland Sagoh yang menyatakan
kekecewaannya terhadap keputusan SPP yang membuka Pengambilan Khas Guru Sarawak kepada pemohon dari seluruh negara.
Malah katanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluahkan rasa kekecewaan atas isu yang
berbangkit ini.