KUCHING: Isu pengagihan gas antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kini berjaya diselesaikan, dengan Petros ditetapkan sebagai satu-satunya aggregator gas bagi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan ini diambil selepas rundingan yang berlangsung selama tiga bulan antara kedua-dua pihak.
Katanya, persetujuan secara prinsip telah dicapai dan kerajaan Sarawak kini hanya menunggu surat rasmi yang dijangka akan diberikan hari ini untuk mengesahkan perkara tersebut.
“Mereka sudah memaklumkan perkara ini dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi secara tidak rasmi dan surat rasmi akan diterima.
“Jadi, kita akan teruskan usaha kita sebagai aggregator dan butiran lanjut akan dibincangkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali kediaman Dato Dr Kalwinder Singh Khaira di sini, hari ini.
Pada masa sama, rumah terbuka tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, serta Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Pada Mei lalu, Julaihi dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengumumkan bahawa Petros akan mengambil alih 100 peratus operasi pengagihan gas bermula 1 Julai.
Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas dan kerajaan Sarawak membenarkan penangguhan itu sehingga 1 Okober ini kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petros.
Oleh Mohd Neenatul Aizal