
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam mengawal selia sumber minyak dan gas di Sarawak.
Dalam satu kenyataan media, Pemuda PBB menyifatkan pandangan menteri berkenaan sebagai sempit kerana hanya menilai MA63 daripada sudut teks literal tanpa mengambil kira konteks sejarah, undang-undang serta kerangka perlembagaan yang lebih luas berkaitan hak Sarawak.
Ia menyatakan bahawa walaupun MA63 tidak menyebut secara khusus mengenai minyak dan gas, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan undang-undang sedia ada di negeri ini.
“Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958 masih berkuat kuasa sehingga kini dan tidak pernah dimansuhkan sejak digubal sebelum pembentukan Malaysia.
“OMO 1958 dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan sebarang usaha untuk menafikan keberkesanannya dilihat sebagai mencabar kedudukan undang-undang Sarawak yang sah.
“Tindakan mentafsir MA63 secara sempit juga dikhuatiri boleh menghakis semangat persekutuan serta menjejaskan keseimbangan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Pemuda PBB turut mempersoalkan pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap cabaran undang-undang oleh Petronas ke atas kerajaan Sarawak.
Mereka juga mempersoalkan keperluan tindakan tersebut sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini telah mengiktiraf peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengagregat gas negeri.
Selain itu, Pemuda PBB mahu jaminan jelas bahawa sebarang pertikaian berkaitan hak minyak dan gas pada masa hadapan akan diselesaikan melalui rundingan secara harmoni dan bukannya melalui proses perundangan di mahkamah yang boleh menjejaskan hubungan Persekutuan–Negeri.
Pemuda PBB menegaskan sokongan padu mereka terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan hak negeri ke atas sumber asli.
Mereka menegaskan bahawa Sarawak tidak akan berkompromi terhadap hak-hak yang telah termaktub dalam kerangka pembentukan Malaysia walaupun berdepan perbezaan tafsiran undang-undang dari Putrajaya.
Oleh Adi Safarman