Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Isu gas, minyak: Kenyataan Azalina bersifat tafsiran sempit, mengelirukan
  • TEMPATAN

Isu gas, minyak: Kenyataan Azalina bersifat tafsiran sempit, mengelirukan

Utusan Sarawak 4 hours ago
WiILFRED Yap berkata kenyataan Datuk Seri Azalina Othman mengenai minyak dan gas salah tafsir.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, berkata kenyataan terbaharu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai tadbir urus minyak dan gas adalah tersasar.

Katanya, kenyataan itu tidak lengkap apabila dinilai berdasarkan rangka perlembagaan penuh yang mengawal kedudukan Sarawak dalam Malaysia.

Beliau berkata walaupun Azalina merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebagai undang-undang yang mengawal minyak dan gas, perlu ditegaskan bahawa akta tersebut tidak pernah dibentang, dibahas atau diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Ini merupakan satu fakta perlembagaan yang material dan tidak boleh diabaikan, khususnya apabila membincangkan perkara yang memberi kesan langsung kepada hak serta kecekapan perundangan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Azalina bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengandungi sebarang peruntukan mengenai pemilikan, pengurusan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas, dan juga tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Azalina dipetik sebagai berkata bahawa MA63 berfungsi sebagai dokumen asas yang menggariskan pembentukan Malaysia, termasuk beberapa hak dan autonomi bagi Sabah dan Sarawak.

Yap menegaskan bahawa walaupun MA63 tidak menyebut secara nyata mengenai pemilikan minyak dan gas, Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memelihara undang-undang Sarawak yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia, melainkan undang-undang tersebut dimansuhkan atau dipinda secara sah oleh pihak berkuasa yang berwibawa.

Beliau berkata salah satu undang-undang yang dipelihara di bawah Perkara 162 ialah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak (OMO) 1958 yang merupakan sebahagian daripada rangka perundangan Sarawak sebelum pembentukan Malaysia.

“Ketiadaan peruntukan dalam MA63 tidak bermaksud penghapusan undang-undang atau hak Sarawak yang sedia ada. Undang-Undang Persekutuan yang digubal selepas 1963 tidak boleh secara automatik mengatasi undang-undang Sarawak yang dipelihara tanpa proses perlembagaan yang sewajarnya serta persetujuan,” katanya.

Beliau menambah anggapan sebaliknya berisiko mencampuradukkan kuasa perundangan Persekutuan dengan legitimasi perlembagaan.

Wilfred Yap berkata sebarang perbincangan yang serius dan jujur mengenai tadbir urus minyak dan gas mesti mengambil kira Perkara 162, Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958, serta keperluan perlembagaan bagi menggugurkan undang-undang negeri yang dipelihara secara sah.

“Penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan menuntut agar kedudukan Sarawak ditangani dalam konteks perundangan dan sejarah yang menyeluruh, dan bukan disempitkan kepada tafsiran sempit yang berisiko mengelirukan orang ramai,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Sarawak berhak ke atas sumber minyak, gas berasaskan OMO 1958
Next: Putrajaya perlu berlaku jujur isu hak minyak, gas di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.