
SARIBAS: Isu ketiadaan bekalan air bersih yang kerap melanda beberapa kawasan di Saribas, termasuk Kampung Tuie, mendapat perhatian serius daripada Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Beliau berkata, masalah tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat setempat yang bergantung kepada bekalan air bersih untuk kehidupan harian.
Menurutnya, isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan Saribas memerlukan tindakan segera serta kerjasama semua pihak, khususnya agensi berkaitan seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
“Masalah ini memang sering berlaku dan memerlukan perhatian serta tindakan sewajarnya daripada pihak JBALB. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus berdepan kesukaran ini tanpa penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Tuie yang berlangsung di Dewan Mohd Mantassim Kampung Tuie, hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut memohon agar penduduk bersabar menghadapi cabaran tersebut sementara usaha penyelesaian dilaksanakan.
“Saya tidak hanya mendengar aduan, tetapi akan memantau secara langsung masalah ini bagi memastikan tindakan yang berkesan dapat diambil,” tegasnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa sambutan Aidilfitri bukan sahaja melambangkan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh silaturahim dan perpaduan masyarakat.
Katanya, program ramah tamah yang diadakan itu menjadi platform terbaik untuk masyarakat saling bermaaf-maafan serta memperkukuh semangat muafakat dan kebersamaan dalam komuniti.
“Perpaduan adalah asas utama dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Dengan perpaduan, kita mampu mengatasi pelbagai cabaran serta mengeratkan hubungan sesama insan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk jawatankuasa penganjur, sukarelawan dan seluruh penduduk kampung yang berganding bahu memastikan kelancaran majlis.
Razi berharap semangat perpaduan, gotong-royong serta budaya hormat-menghormati akan terus dipelihara demi memastikan kesejahteraan dan kemajuan komuniti Kampung Tuie serta kawasan sekitarnya terus terjamin.
Oleh Adi Safarman